Kota Kinabalu: Seorang wanita yang cuba menyogok pegawai Pasukan Gerakan Am (PGA), ditahan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tindakan berkenaan dipercayai sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang cuba menyeludup keluar barangan kawalan ke negara jiran Filipina.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan di Pejabat SPRM, cawangan Tawau kira-kira jam 5.40 petang, kelmarin, ketika hadir memberi keterangan.
Suspek yang juga seorang warga tempatan dipercayai memberi rasuah sebanyak RM800 kepada pegawai PGA yang sedang bertugas di Pulau Mataking.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, penahanan suspek bagi membantu siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.
“Tiada permohonan reman dibuat dan suspek dilepaskan dengan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Karunanithy berkata, hasil tangkapan berkenaan adalah kerjasama antara PGA dan SPRM dalam usaha membanteras rasuah di kawasan berkenaan.
Sehubungan itu, Karunanithy mengingatkan orang ramai supaya jangan menawar atau memberi sebarang sogokan kepada pejawat awam khususnya pegawai penguatkuasa kerana ia adalah kesalahan mengikut Akta SPRM 2009.
Katanya, pejawat awam juga wajib membuat laporan kepada SPRM sekiranya timbul sebarang aktiviti sogokan kerana kegagalan untuk berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta SPRM 2009.
Tamat







