
Sandakan: Membangunkan Sandakan dan mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk setempat, menjadi perjuangan utama bagi calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Lau Chi Keong @ Thomas Lau, 73 tahun.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu berkata, daerah Sandakan ketika ini sangat memerlukan pelaburan untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, pada masa sama, hubungan BIMB-EAGA yang ada perlu diperkukuhkan dalam usaha mewujudkan peluang perniagaan untuk membangunkan Sandakan.
“Daerah ini dapat dibangunkan menerusi pelaburan yang dibawa masuk dan ia sekaligus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk.
“Sementara hubungan BIMB-EAGA jua perlu terus dikukuhkan dalam usaha menarik lagi banyak peluang niaga dan membangun Sandakan amnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas hari penamaan calon di P186 Sandakan di pusat penamaan calon di Dewan Masyarakat Sandakan, semalam.
Sementara itu, Parlimen Sandakan, Lau akan bertanding menentang penyandang Ahli Parlimen Sandakan dari Parti DAP, Vivian Wong Shir Yee.
Selain itu, pertembungan juga membabitkan empat lagi calon bebas iaitu Hu Chang Lik @ Hii Chang Lik (bebas), Thien Ching Qiang (Parti Warisan), Lokeman Hazli Azali (bebas) dan Lita Tan Abdullah (bebas).
Lau berkata, beliau berharap pengundi akan bijak menilai siapa yang akan menjadi pemimpin di Sandakan untuk membawa suara rakyat ke parlimen pada masa hadapan.
Lau, yang dilahirkan dan membesar di Sandakan pernah berkhidmat sebagai timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan pada 1999 hingga 2005.
Selain aktif dalam bidang perniagaan, beliau juga terlibat dalam kerja-kerja amal membabitkan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau pernah dilantik sebagai sebagai Kapitan di Taman Sibuga dari 2014 hingga 2018 sebelum dilantik sebagai Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) Tanjong Papat pada Disember 2021.
Tamat








