Operasi carilamat nelayan hilang dihentikan.

Labuan: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menghentikan Operasi CARILAMAT yang diaktifkan bagi mencari nelayan hilang sejak 24 Disember lalu.

Tindakan itu diambil berikutan tiada sebarang petunjuk positif dapat ditemui sepanjang empat hari operasi pencarian.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, operasi CARILAMAT ditamatkan selepas menilai kepada keadaan semasa serta hasil perbincangan bersama pasukan penyelamat yang terlibat.

Walaubagaimanapun katanya, pemantauan dan pencarian akan terus dilaksanakan semasa operasi rondaan harian di laut dan pesisiran pantai.

“Maritim Malaysia merakamkan terima kasih kepada semua pasukan penyelamat serta agensi-agensi sahabat yang terlibat dalam operasi CARILAMAT.

“Antaranya yang terbabit dalam operasi ini adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan BOmba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Perikanan Malaysia serta individu-individu persendirian yang turut sama membantu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan orang awam terutamanya komuniti maritim supaya sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa berada di laut.

Katanya, komuniti laut juga perlu sentiasa peka terhadap ramalan kaji cuaca serta amaran-amaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) sebelum melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

“Sebarang kecemasan di laut, boleh terus disalurkan melalui talian 999 dan hotline Maritim Malaysia di talian 03-89434001 ataupun Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999,” katanya.

Tamat