Kota Kinabalu: Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Nin Mohd Isa dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak, berkuatkuasa, hari ini.
Kekosongan jawatan berkenaan akan diisi oleh bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Superintendan Rosdi Mat Jusoh.
Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Auditorium, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini.
Jauteh dalam ucapannya berkata, beliau percaya Mohd Zamzuri berkemampuan mengorak langkah ke arah kecemerlangan dalam perkhidmatan polis.
Katanya, ia seterusnya mampu untuk mencapai visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Mohd Zamzuri sudah menjawat jawatan KJSPT Sabah sejak lebih lima tahun lalu dan secara peribadi, saya amat kagum dengan prinsip, kesungguhan dan komitmen beliau.
“Seluruh warga PDRM Sabah merakamkan ucapan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan beliau dalam menjalankan amanah yang diberikan sepanjang berada di negeri ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Jauteh turut merakamkan ucapan tahniah juga kepada Rosdi atas kenaikan pangkat sebagai Ketua JSPT Sabah.
Katanya, berdasarkan kepada rekod selama 23 tahun perkhidmatannya dalam Jabatan Siasatan Jenayah membuktikan kemampuan beliau.
“Walaupun berbeza dari segi penguatkuasaan dan siasatan namun saya yakin ia akan bakal memberi satu impak yang besar dalam meneruskan legasi dan memperkasakan lagi JSPT Sabah ini,” katanya.
Tamat







