Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: 33 kenderaan dikenakan kompaun oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) selepas didapati menyebabkan gangguan aliran lalu lintas.
DBKK dalam kenyataannya memaklumkan, kompaun yang dikeluarkan di kawasan pekarangan sebuah pusat beli belah di pusat bandaraya mengikut pemeriksaan dan pematuhan Undang-Undang Kecil (UUK) Tempat Letak Kereta.
Katanya, pemeriksaan mendapati, semua kenderaan berkenaan diletakkan di kawasan yang hanya dikhaskan bagi menurunkan dan mengambil penumpang.
“Susulan itu, sebanyak 33 keping kompaun dikeluarkan mengikut kesalahan UUK Tempat Letak Kereta.
“Pemandu kenderaan diingatkan supaya sentiasa mematuhi UUK Tempat Letak Kereta dan tidak meletakkan kenderaan di tempat yang tidak dikhaskan sehingga boleh menyebabkan gangguan kepada aliran lalu lintas,” katanya.
Menurutnya, DBKK memandang serius perkara ini dan akan terus komited dalam melaksanakan pemantauan di sekitar bandar raya dari masa ke masa.
“Ia bagi memastikan tahap pematuhan orang awam terhadap UUK Tempat Letak Kereta sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Selain itu, ia juga bertujuan untuk mendidik dan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat untuk terus menghormati dan memelihara kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Sehubungan itu katanya, warga Bandaraya Kota Kinabalu dinasihatkan untuk sentiasa peka dan patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan.










