Biasiswa juga untuk pelajar asasi, matrikulasi dan A-Level

Oleh JOHN TAMBANAN

KOTA KINABALU: Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) kini turut ditawarkan kepada pelajar yang melanjutkan pengajian di peringkat asasi, matrikulasi dan A-Level bermula tahun ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata elaun biasiswa bagi semua pelajar tajaan BKNS di universiti awam dan swasta juga akan diseragamkan, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong pembangunan pendidikan di Sabah. Langkah ini bertujuan memastikan lebih ramai pelajar berpotensi mendapat akses kepada pendidikan tinggi.

Bercakap pada majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Hajiji memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah memperuntukkan jumlah tertinggi dalam sejarah BKNS untuk tahun 2025, iaitu sebanyak RM136 juta. Peruntukan itu meningkat berbanding hanya RM50 juta pada tahun 2020.

“Ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM86 juta berbanding tahun 2019, mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam menyokong pendidikan anak-anak Sabah,” katanya.

Menurut beliau, sejumlah 13,550 pelajar telah mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif pendidikan Kerajaan Negeri dari tahun 2021 hingga 2024. Pada masa yang sama, Kumpulan Yayasan Sabah turut memperuntukkan RM67.17 juta untuk sektor pendidikan pada tahun lalu yang memberi manfaat kepada 3,234 pelajar.

Perbelanjaan Yayasan Sabah itu meningkat 148.96 peratus berbanding RM26.98 juta pada tahun 2020. Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) pula telah membantu 10,104 penerima sejak dilancarkan pada Jun 2022, melibatkan perbelanjaan sebanyak RM15.8 juta.

Melalui Bahagian Zakat dan Fitrah Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), lebih 48,000 pelajar di seluruh negeri menerima bantuan dalam tempoh lima tahun lalu dengan peruntukan RM92.4 juta. Kerajaan Negeri juga terus melaksanakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan menerusi Pejabat Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Tugas-Tugas Khas).

Pada tahun ini sahaja, sebanyak RM77.5 juta diperuntukkan bagi membiayai 14 inisiatif bantuan pendidikan seperti Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY), dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).

Menurut Hajiji, pelbagai agensi seperti Yayasan Kebajikan Sabah dan Perbadanan Baitulmal Sabah turut menyokong inisiatif ini. Beliau menegaskan Kerajaan Negeri komited menjaga kebajikan dan masa depan anak-anak Sabah tanpa mengira latar belakang.

Beliau menggesa pelajar untuk terus menimba ilmu dan mengejar kecemerlangan dalam bidang-bidang strategik seperti minyak dan gas, TVET dan Kecerdasan Buatan (AI). Hajiji berharap anugerah yang diberikan menjadi pendorong untuk para pelajar mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, serta menyokong agenda Sabah Maju Jaya dan visi Madani negara.

KENANGAN …. Hajiji bergambar bersama penerima biasiswa dan pelajar di SICC.