KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang orang awam akan didakwa di mahkamah dalam tempoh terdekat berhubung dengan siasatan Op Adun.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, ketiga-tiga individu terbabit dalam proses untuk dipanggil bagi menjalankan proses rakaman percakapan di bawah kenyataan beramaran.
Menurutnya, SPRM juga dalam proses untuk menjalankan tangkapan dan memaklumkan individu berkenaan mengenai tarikh yang mereka perlu hadir ke mahkamah.
“Saya tidak boleh nyatakan sekarang sehingga proses ini selesai. Tapi yakinlah, mereka akan didakwa di mahkamah dalam bulan ini atau mungkin penghujung bulan ini.
“Ia bergantung kepada tarikh mahkamah yang akan ditetapkan kerana Mahkamah Rasuah di Sabah ini ada tarikh-tarikh tertentu dan kita sedang mendapatkan tarikh daripada mahkamah,” katanya ketika ditanya mengenai perkembangan siasatan Op Adun.
Beliau ditemui media selepas melancarkan majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Teknologi dan Pengurusan Lestari (ICTMS) 2025 di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kota Kinabalu di sini.
Dalam pada itu, Azam turut menjelaskan mengenai kesahihan video yang tular, perkara itu tidak boleh diperincikan kerana ia kini dianggap subjudis.
Sehubungan itu, pihaknya akan menyerahkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya yang akan menggunakan bukti berkenaan di mahkamah sekiranya ada keperluan menggunakannya sebagai bahan bukti.
“Apabila kita menyiasat, kita tidak bergantung kepada bukti itu sama ada ia tulen atau tidak. Tetapi kita juga perlu bergantung kepada beberapa bukti lain.
“Keterangan ini bukan sahaja daripada audio visual, ia juga bergantung kepada keterangan daripada manusia itu sendiri.
“Jadi kita perlukan orang untuk bercakap. Mesin mungkin boleh memberikan keterangan, tetapi kita juga perlukan manusia untuk mengesahkan ketulenan dan kandungan audio atau visual,” jelasnya.
Beliau berkata, perkara ini sangat teknikal dan pihaknya tidak mahu mengulas panjang mengenainya.
Menurutnya, selain tiga individu terbabit yang akan didakwa di mahkamah, pihaknya juga menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan jika ada lagi individu yang akan didakwa nanti.
ketika ditanya mengenai tindakan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang mahu menjalankan protes antirasuah hujung minggu ini, Azam menjelaskan, tindakan itu terpulang kepada mereka.
“Saya tidak mempunyai komen, terpulang kepada mereka. Ini adalah negara yang bebas. Mereka boleh mengucapkan apa yang mereka mahu. Jadi saya tidak mempunyai komen,” katanya.
Sebelum ini, SPRM melancarkan Op Adun bagi menyiasat pembabitan ADUN Sabah dalam isu pengeluaran lesen perlombongan selepas beberapa siri video yang disunting diterbitkan dalam portal berita dalam talian bermula November tahun lepas.









