Oleh JOHN TAMBANAN
PUTATAN: Kerjasama strategik antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta dilihat berupaya menyelaras objektif kerajaan dalam memperkasa khidmat masyarakat, sekali gus memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat, khususnya menjelang pembukaan sesi persekolahan baharu.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penglibatan aktif NGO dan pihak swasta dalam pelbagai program kemasyarakatan bukan sahaja mencerminkan tanggungjawab sosial korporat, malah membantu meringankan beban ibu bapa yang terkesan dengan keperluan persiapan sekolah anak-anak.
Menurut beliau, inisiatif sedemikian selari dengan dasar kerajaan yang sentiasa menggalakkan penglibatan sukarelawan dan komuniti dalam usaha menjaga kebajikan rakyat.
“NGO dan pihak swasta amat dialu-alukan untuk melaksanakan aktiviti kemasyarakatan, lebih-lebih lagi ketika ini apabila sesi persekolahan baharu akan bermula Isnin hadapan.
“Aktiviti berkonsepkan tanggungjawab sosial ini sangat murni dan menyokong aspirasi kerajaan yang sentiasa meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Back To School Gunting Rambut Percuma yang berlangsung di perkarangan Servay Putatan, di sini, pada Sabtu.
Program berkenaan merupakan hasil kerjasama antara Pejabat Parlimen P.173 Putatan dengan NGO Dinamik Teras Bakti serta Pertubuhan Lima Generasi (PLG).
Mengulas lanjut, Shahelmey turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen semua pihak yang terus menyokong inisiatif Pejabat Parlimennya dalam membantu komuniti setempat.
“Saya dimaklumkan kira-kira 100 peserta daripada kalangan penduduk sekitar Putatan menyertai program ini. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat serta menunjukkan semangat kebersamaan yang tinggi.
“Insya-Allah, program seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan saya berharap lebih banyak NGO serta pihak swasta tampil bersama-sama menabur bakti demi kesejahteraan rakyat Parlimen Putatan,” katanya.
Turut hadir ialah Pegawai Khas Kanan Parlimen Putatan, Mohd Sufian Matin; Pegawai Khas Pentadbiran dan Operasi Parlimen Putatan, Mahadzir Abd Majid; serta Pengerusi NGO Dinamik Teras Bakti dan PLG Sabah, Mohammad Azmi Mohammad Sanni.

BAKAT …. Shahelmey (tengah) menunjukkan bakatnya menggunting rambut salah seorang peserta Program Back To School Gunting Rambut Percuma di Putatan.




