Pemilik Kedai Mahu Penjelasan DBKK Mengenai Pembangunan Semula Manggatal

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Sekumpulan pemilik kedai, penyewa dan pengendali perniagaan di Pekan Manggatal meminta Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) memberikan penjelasan terperinci berhubung proses kelulusan dan perancangan pembangunan semula pekan itu.
Jurucakap kumpulan berkenaan, Michael Wong berkata, penjelasan itu penting kerana pembangunan dicadangkan berpotensi memberi kesan terhadap kemudahan parkir, laluan pejalan kaki, jalan raya, saliran dan infrastruktur lain.
Kumpulan itu, yang diwakili peguam Chong Kian Meng, menegaskan mereka tidak menentang pembangunan, namun mahu sebarang perubahan terhadap pekan berkenaan dilaksanakan secara telus, berdasarkan penilaian menyeluruh serta mengambil kira aspek keselamatan awam.
Dalam penyerahan rasmi bertajuk ‘Perwakilan Rasmi dan Permohonan untuk Pendedahan, Perundingan dan Penilaian Profesional Bebas’, mereka meminta DBKK menjelaskan proses pembangunan semula, rangka kerja perundangan dan perancangan serta status semua kelulusan berkaitan.
Mereka turut mahu mengetahui agensi yang telah mengeluarkan kelulusan, permit atau persetujuan, selain kelulusan yang masih dalam proses.
Wong berkata kumpulan itu juga meminta dokumen projek berkaitan, termasuk pelan tapak, pelan pembangunan diluluskan, cadangan parkir dan laluan pejalan kaki, penilaian trafik, kajian banjir dan saliran, pelan utiliti serta pelan pengurusan pembinaan.
Menurutnya, perubahan terhadap parkir, laluan pejalan kaki dan akses jalan raya boleh menjejaskan operasi perniagaan, termasuk kebolehcapaian pelanggan, penghantaran serta pergerakan pekerja.
“Kami juga bimbang aktiviti pembinaan menyebabkan gangguan bunyi, habuk, getaran dan kesesakan lalu lintas,” katanya.
Sehubungan itu, kumpulan berkenaan meminta DBKK mempertimbangkan pelantikan pasukan profesional multidisiplin bebas bagi menilai potensi impak pembangunan tersebut secara objektif.
Mereka percaya penilaian bebas dapat membantu pihak berkepentingan dan berkuasa menentukan sama ada pembangunan itu boleh dilaksanakan secara selamat dan mampan.

RISAU …. Dari kanan, jurucakap Michael Wong, ketiga dari kanan, peguam Chong Kian Meng bersama sekumpulan pemilik kedai dan pengendali perniagaan di hadapan tapak projek di Pekan Manggatal.