Cadangan projek Kinabalu Cable Car

Perlu menepati prinsip pembangunan mampan, pemuliharaan alam sekitar – Jafry

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin menerima kunjungan hormat daripada Jesselton International Sdn Bhd bagi pembentangan cadangan projek Kinabalu Cable Car serta laporan kajian kebolehlaksanaannya di kawasan Kundasang, Gunung Kinabalu.
Jafry menegaskan bahawa sebarang pembangunan yang melibatkan Gunung Kinabalu perlu dinilai secara teliti dan menyeluruh dengan mengutamakan prinsip kelestarian alam sekitar serta pemeliharaan warisan semula jadi negeri.
Menurut beliau, Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO mempunyai nilai biodiversiti dan kepentingan ekologi yang tinggi, justeru setiap cadangan pembangunan perlu mematuhi piawaian ketat termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA) yang komprehensif.
“Kementerian menyokong pembangunan yang mampu menjana nilai ekonomi dan memperkaya pengalaman pelancongan, namun pelaksanaannya mesti dikawal rapi dengan mengambil kira kapasiti tampungan serta mengelakkan tekanan berlebihan terhadap ekosistem sensitif,” katanya.
Beliau berkata, di peringkat global, terdapat beberapa contoh pembangunan sistem kabel di kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dilaksanakan secara terkawal dan berasaskan pendekatan pemuliharaan. Antaranya Skyrail Rainforest Cableway di Wet Tropics of Queensland, Australia; Teleférico del Teide di Taman Negara Teide, Sepanyol; serta Tianzi Mountain Cableway di Zhangjiajie, China (Kawasan Pemandangan Wulingyuan), yang berfungsi sebagai akses terkawal ke kawasan sensitif.
Selain itu, katanya, kemudahan seperti Table Mountain Aerial Cableway di Afrika Selatan dan Sugarloaf Cable Car di Rio de Janeiro, Brazil membuktikan bahawa pembangunan infrastruktur pelancongan boleh dilaksanakan tanpa menjejaskan nilai biodiversiti dan warisan landskap, dengan penekanan terhadap pengurusan pelawat secara sistematik serta impak minimum terhadap alam sekitar.
“Pengalaman antarabangsa menunjukkan kemudahan seperti ini berpotensi mengurangkan tekanan aktiviti pendakian, selain meningkatkan akses pelancongan secara lebih tersusun dan mampan. Namun, pelaksanaannya mesti berpaksikan sains, kawal selia ketat dan prinsip pemuliharaan,” jelasnya.
Beliau menekankan bahawa pendekatan ‘conservation first’ perlu dijadikan asas utama dalam menilai cadangan projek berkenaan, di samping memastikan tiada gangguan terhadap habitat hidupan liar serta integriti kawasan Taman Kinabalu.
Dalam masa sama, katanya, cadangan projek itu juga perlu mengambil kira kepentingan komuniti tempatan di Kundasang dan Ranau, termasuk peluang ekonomi, penyertaan komuniti serta pemeliharaan nilai budaya dan spiritual yang berkait rapat dengan Gunung Kinabalu.
Jafry turut menegaskan keperluan penggunaan teknologi hijau, reka bentuk mesra alam serta pematuhan kepada amalan terbaik antarabangsa dalam pelancongan mampan.
“Sebarang keputusan akan dibuat secara berhati-hati, berasaskan data dan sains, serta melalui libat urus menyeluruh bersama semua agensi berkaitan termasuk Sabah Parks dan pihak berkepentingan lain,” katanya.
Beliau menambah, kementerian kekal komited dalam memastikan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan aspirasi Sabah sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi dan lestari.

TAKLIMAT …. Jafry (kanan) mendengar taklimat daripada wakil Jesselton International Sdn Bhd mengenai cadangan projek Kinabalu Cable Car.