Oleh JOHN TAMBANAN
TENOM: Gerakan Skuad Antidadah di kawasan pedalaman Sabah perlu terus diperkasa menerusi kerjasama agensi penguatkuasaan, pemimpin masyarakat dan golongan belia bagi membendung ancaman penyalahgunaan dadah.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang berkata, penyalahgunaan dadah bukan sahaja merosakkan kesihatan individu, malah turut menghancurkan institusi kekeluargaan, mengancam keselamatan komuniti serta menjejaskan masa depan generasi muda.
Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya perlu disokong pendidikan pencegahan secara holistik dan berterusan bagi membina ketahanan masyarakat menolak ancaman dadah.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting dalam memastikan usaha memerangi dadah dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah (JABD) Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Daerah Kecil Kemabong, di sini, Sabtu lalu.
Hadir sama, Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr Awang Alik Jeman; Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh; Pengerusi Skuad AADK Negeri Sabah, Datuk Mazlan @ Joehari Haji Manan; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Sabah, Superintenden Mohd Shahrul Datuk Haji Abdul Wahab dan Penolong Pegawai Daerah Kecil Kemabong, Zakharia Jamal.
Rubin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong berkata, pembangunan luar bandar tidak seharusnya tertumpu kepada penyediaan infrastruktur fizikal seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik semata-mata.
Sebaliknya, katanya, kesejahteraan modal insan dan keharmonian sosial turut menjadi asas penting kemajuan sesebuah komuniti.
Beliau turut menyifatkan penganjuran konvoi motosikal dua roda sempena program itu sebagai pendekatan kreatif untuk mendekati golongan belia melalui aktiviti yang dekat dengan minat mereka.
Katanya, aktiviti sedemikian bukan sahaja dapat menyampaikan mesej pencegahan dadah secara lebih santai, malah menggalakkan golongan muda menyalurkan minat permotoran kepada kegiatan yang bermanfaat dan berunsur tanggungjawab sivik.
“Peserta konvoi bukan sekadar penunggang motosikal, sebaliknya duta dan rakan advokasi antidadah yang bertanggungjawab menyebarkan kesedaran kepada rakan sebaya, keluarga dan masyarakat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap gerakan SKUAD Antidadah di kawasan pedalaman terus diperhebat melalui kerjasama erat AADK, pemimpin masyarakat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), ketua anak negeri dan pertubuhan belia.
Rubin turut menekankan kepentingan pendekatan seimbang antara tindakan tegas membanteras dadah dengan sokongan pemulihan kepada individu yang berusaha meninggalkan ketagihan.
Katanya, keluarga juga perlu memainkan peranan sebagai benteng utama pencegahan dengan meluangkan masa bersama anak-anak, mengamalkan komunikasi terbuka serta peka terhadap perubahan tingkah laku mereka.
Beliau mengajak masyarakat Kemabong dan Tenom memperkukuh semangat kejiranan, saling mengambil berat dan bekerjasama melindungi generasi muda daripada pengaruh dadah.

Rubin (tengah) diiringi Dr Awang Alik Jeman, Ruslin Jusoh, Mazlan @ Joehari Haji Manan, Mohd Shahrul dan Zakharia Jamal ketika merasmikan majlis penutupan Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Daerah Kecil Kemabong, Tenom.






