Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara mengesahkan sudah menerima laporan penuh siasatan awal daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes kematian Zara Qairina.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa memaklumkan, laporan itu masing-masing diterima pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan 4 Ogos di Ibu Pejabat Putrajaya.
Sehubungan itu katanya, Jabatan Peguam Negara sedang meneliti dengan mendalam laporan penuh siasatan awal berkenaan.
“Proses penelitian ini merangkumi semua aspek undang-undang dan fakta yang dikemukakan bagi memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berlandaskan undang-undang serta memenuhi prinsip keadilan.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan awal tersebut selesai dilaksanakan,” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan Peguam Negara menjelaskan, pihaknya menghargai kerjasama daripada semua pihak.
“Orang awam digesa supaya mengelak daripada membuat sebarang penyataan bersifat spekulatif yang boleh menjejaskan proses siasatan dan keadilan,” katanya.





