Tiada parti, tiada jaminan: Jangan terpedaya calon bebas

KINABATANGAN: Menjelang hari pengundian PRN-17, Setiausaha Penerangan Barisan Nasional (BN) Sabah, Rahia Arpaih, menegaskan bahawa calon bebas yang bertanding tanpa sokongan mana-mana parti tidak mampu memberi jaminan yang kukuh kepada rakyat.
Menurutnya, undi kepada calon bebas berisiko dimanipulasi selepas kerajaan dibentuk, apabila mereka berkemungkinan bergabung dengan mana-mana parti demi kepentingan politik sendiri.
“Mandat rakyat bukan sekadar nombor di kertas undi. Apabila calon bebas menggunakan kepercayaan rakyat untuk memenuhi agenda peribadi atau politik jangka pendek, rakyat akhirnya menjadi alat permainan politik,” katanya.
Rahia turut menekankan bahawa calon bebas lazimnya tidak memiliki hala tuju jelas berkaitan pembangunan kawasan atau kebajikan rakyat, sekali gus meningkatkan risiko mandat rakyat dipersia-siakan.
Sehubungan itu, BN menyeru para pengundi di Kinabatangan dan Lamag supaya membuat penilaian menyeluruh terhadap calon yang bertanding, serta memilih wakil yang mempunyai parti, pengalaman dan prinsip yang jelas, agar undi rakyat benar-benar membawa manfaat jangka panjang kepada masyarakat.
“Jangan biarkan mandat rakyat disalahgunakan. Undilah calon yang terbukti komitmennya kepada rakyat,” tegas beliau.
Kempen BN di kawasan Kinabatangan diteruskan dengan siri lawatan ke Pusat Daerah Mengundi serta sesi libat urus bersama penduduk tempatan. JT

Rahia menyantuni rakyat di DUN Lamag