PPM rampas rokok seludup bernilai RM174,700

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan merampas 87,200 batang rokok pelbagai jenama dalam operasi yang dilancarkan di Kampung Sinar Baru Batu 12, di sini, semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 11 pagi itu, semua rokok yang berjaya dirampas dianggarkan bernilai RM174,700 berdasarkan harga pasaran semasa.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, bertindak atas maklumat awam, pasukan operasi mengekori sebuah kenderaan yang disyaki membawa rokok seludup.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya cuba menahan kereta Perodua Bezza berkenaan untuk menjalankan pemeriksaan.
“Pemandu kenderaan bagaimanapun sempat melarikan diri dan terus meninggalkan kenderaan bersama semua barangan di dalamnya.
“Hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan berkenaan membawa sejumlah besar rokok pelbagai jenama tanpa cukai,” katanya dalam kenyataan.
Nazri berkata, semua barang rampasan termasuk rokok berkenaan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kastam 1967.
Sehubungan itu, Nazri merakamkan penghargaan terhadap kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat sehingga berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan itu.
“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa komited membanteras aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara serta mengalu-alukan maklumat daripada komuniti untuk mengekang jenayah ini,” katanya.

TUMPAS …. Sebahagian rokok seludup yang ditemui di bonet belakang kereta Perodua Bezza suspek.