Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kejayaan usahawan wanita Sabah, Datin Saadiah Abdul Rashad, menerima pengiktirafan dalam Buku 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026 mencerminkan peranan signifikan wanita negeri ini dalam memacu landskap keusahawanan dan pembangunan ekonomi negara.
Pengiktirafan berkenaan diterima dalam satu majlis yang berlangsung di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur, pada 28 Mac lalu.
Saadiah berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja membawa makna besar kepada dirinya, malah menjadi manifestasi bahawa wanita Sabah berupaya bersaing dan menonjol di pentas nasional.
“Sebagai wakil usahawan wanita Sabah, saya berbangga kerana platform ini mengiktiraf dan mengangkat peranan wanita sebagai pemangkin pembangunan sosioekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Raspand Motor Sdn Bhd menegaskan bahawa wanita perlu terus diberi ruang dan sokongan untuk berkembang dalam bidang keusahawanan, kepimpinan serta pembangunan komuniti.
Saadiah turut memiliki rekod cemerlang dalam dunia perniagaan melalui beberapa syarikat yang diterajui, termasuk NJ Autoworld Sdn Bhd, pengedar 3S Honda Malaysia di Sabah, serta Nurnielamsari Travel Sdn Bhd, syarikat pelancongan inbound yang menawarkan perkhidmatan tiket serta pengangkutan darat dan laut.
Sepanjang kerjayanya, beliau telah menerima pelbagai pengiktirafan antaranya Standing Ovation Award 2018, Elite Dealer 2019 CEO Award, Outstanding Woman Award 2022, Usahawanita Cemerlang Negeri Sabah 2022 dan Elite Dealer Malaysia 2024 Malaysia CEO Award.
Selain itu, beliau juga aktif dalam peranan komuniti sebagai Penaung SACOSSA, Penasihat Permata Tijarah Sabah, serta pernah dilantik sebagai Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Semporna.
Program berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Usahawan Industri Kecil dan Sederhana Wanita Bumiputra Sabah (IKSNITA) dengan kerjasama Universiti Kolej Lincoln Malaysia.

ANGGUN …. Saadiah Abdul Rashad bersama anugerah yang diterimanya pada Majlis Pengiktirafan Buku 100 Wanita Inspirasi Nasional (WIN) 2026 di Kuala Lumpur, baru-baru ini




