Oleh FARDY BUNGGA
RANAU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menjalankan aktiviti memproses air ketum sebelum diedarkan di sekitar daerah ini, semalam.
Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 7 malam bersama beberapa peralatan memasak minuman berkenaan.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, suspek ditahan di sebuah kampung oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau.
Katanya, pemeriksaan di rumah suspek berjaya menemui 19 botol berisi air ketum bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk memasak minuman tersebut.
“Hasil serbuan, suspek yang merupakan seorang penganggur ditahan bersama beberapa barangan termasuk tong gas, dapur masak, periuk, bekas polisterin putih dan tong plastik kuning.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Sehubungan itu, Mursalin mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran atau penggunaan ketum.
Katanya, ia menjadi satu kesalahan di sisi undang-undang dan boleh dikenakan hukuman didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

DITAHAN …. Penganggur berusia 32 tahun ditahan bersama air ketum yang sudah diproses.






