Oleh FARDY BUNGGA
KOTA BELUD: Sebanyak 10 buah motosikal disita melibatkan penunggang motosikal dan samseng jalanan dalam operasi Op Motosikal di Jalan Pan Borneo berhampiran Pantai Emas dan Jalan Sangkir, di sini, semalam.
Malah dalam operasi berkenaan, polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Belud turut mengeluarkan sebanyak 27 saman atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada orang ramai berhubung aktiviti samseng jalanan di kawasan berkenaan.
Susulan itu katanya, operasi dilaksanakan bagi mengesan pesalah lalu lintas bagi menguatkuasakan undang-undang.
“Selain itu, operasi turut dilaksanakan bagi menunjukkan kehadiran polis atau ‘Omnipresence’ dalam usaha mencegah jenayah di sekitar pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud khususnya.
“Hasil operasi ini, sebanyak 10 buah motosikal disita dan 27 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan pengubahsuaian motosikal,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Menurutnya, semua motosikal disita dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut yang dijalankan mengikut Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sehubungan itu, Shahrudin berkata, operasi seumpama itu dijalankan sebagai peringatan kepada masyarakat agar terus mematuhi undang-undang dan peraturan lalulintas.
Katanya, ia bertujuan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Pihak polis menasihati masyarakat agar mengutamakan keselamatan diri di jalan raya dengan slogan ‘Sayangi diri, keluarga dan masyarakat’,” katanya.


DISITA … Sebanyak 10 buah motosikal disita selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan dan pengubahsuaian motosikal







