Remaja ditemukan maut, rakan masih hilang di Sungai Pagalan

KENINGAU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang selepas dilaporkan lemas ketika mandi bersama rakan di Sungai Pagalan berhampiran Jeti Feri Pagalan, Jalan Bakti Logam, di sini semalam.
Mangsa ditemukan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) pada jam 10.34 pagi tadi, kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dilaporkan hilang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba Severinus Nidzam Sainkui, berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua dimulakan jam 9 pagi dengan pencarian dibahagikan kepada dua sektor.
Katanya, sektor pertama menjalankan pencarian di permukaan air sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang, manakala sektor kedua menggunakan kaedah pencarian bertali sejauh 500 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“PPDA memulakan selaman pertama pada jam 10.30 pagi sebelum menemukan mangsa empat minit kemudian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Severinus berkata, operasi SAR diteruskan bagi mengesan seorang lagi mangsa, berusia 13 tahun, yang masih belum ditemukan.
Menurutnya, operasi membabitkan anggota BBP Keningau dan PPDA Kuala Penyu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Terdahulu, kedua-dua remaja terbabit dilaporkan lemas ketika mandi bersama beberapa rakan di sungai berkenaan petang semalam.

DITEMUKAN …. Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.