Victor gesa JPS segera baiki pam pengairan sawah rosak

TAMBUNAN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) digesa mengambil tindakan segera membaiki pam air yang rosak sejak enam tahun lalu sehingga menjejaskan lebih 600 pesawah di Kampung Kiawayan dan kawasan berhampiran.
Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan, Dato’ Victor P. Paut berkata, kerosakan pam berkenaan menyebabkan bekalan air tidak dapat disalurkan ke kawasan sawah, sekali gus menjejaskan tanaman padi terutama ketika cuaca panas dan kering ketika ini.
Beliau berkata, masalah itu turut membabitkan kawasan sawah di Kampung Masak dan Kampung Silat dengan keluasan keseluruhan yang terjejas dianggarkan lebih 200 ekar.
“Masalah ini sudah berlaku selama enam tahun dan terlalu lama untuk dibiarkan tanpa penyelesaian. Keadaan sawah kini merekah dan kering akibat ketiadaan bekalan air sehingga tanaman padi musnah.
“Saya berharap JPS segera mengenal pasti punca kerosakan pam dan memastikan sistem pengairan dapat berfungsi semula,” katanya ketika meninjau keadaan sawah padi di Kampung Kiawayan di sini.
Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, berkata beliau telah menghubungi Pengarah JPS Daerah Tambunan semalam dan dimaklumkan jurutera daerah akan turun padang bagi meninjau serta mengenal pasti masalah berkenaan.
Beliau berharap tindakan susulan diambil segera dan tidak terhenti setakat kerja tinjauan kerana pesawah tidak mampu terus menunggu.
“Sekiranya sawah tidak dapat diusahakan, mereka bukan sahaja kehilangan hasil tanaman, malah sumber pendapatan untuk menyara keluarga turut terjejas,” katanya.
Pada masa sama, Victor berkata pesawah turut berharap Jabatan Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (Maffi) mengambil perhatian terhadap masalah berkenaan serta membantu memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kiawayan, Justin Itud yang juga pesawah terjejas berkata, penduduk telah beberapa kali membuat laporan mengenai masalah sistem pengairan itu.
Katanya, sehingga kini pam berkenaan masih belum dibaiki menyebabkan pesawah terpaksa bergantung kepada hujan, yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan sawah.
“Banyak laporan dan aduan telah dibuat, namun sehingga kini belum ada tindakan menyelesaikan masalah ini. Keadaan semakin teruk berikutan cuaca panas dan ketiadaan hujan.
“Kami berharap pam dapat dibaiki segera supaya bekalan air dapat disalurkan semula kerana sawah ini adalah punca pendapatan kami,” katanya.
Seorang lagi pesawah dari Kampung Lalapakon, Harry Kimun, turut berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera bagi memulihkan sistem pengairan supaya aktiviti penanaman padi dapat diteruskan mengikut jadual.

Victor ditemani Justin ketika ditemui media selepas meninjau keadaan sawah padi di Kampung Kiawayan (gambar atas), manakala gambar bawah menunjukkan keadaan sawah padi yang kering dan rosak.