‘Acara yang dianjurkan oleh Generasi Pertama Hajah Muyot Binti Imam Umpau ini bukan sekadar perjumpaan Aidilfitri, tetapi simbol kepada ikatan kekeluargaan yang terus utuh merentasi tujuh generasi sejak awal abad ke-19 dengan slogan ‘Runattu Mipomppon Sunsugan’ yang membawa makna ‘Hari ini Pertemuan Generasi’.’
Siri Akhir
ADA di antara mereka yang sebelum ini telah berumah tangga di Banjarmasin, ada juga yang masih bujang.
Menurut Hajah Fatimah lagi, daripada 25 orang bersaudara itu, beberapa orang yang kembali ke Banjarmasin.
Ada juga yang datang semula ke Sandakan dan Kinabatangan, bersatu kembali dengan saudara-saudara sepupu mereka di sini dengan membawa semula perkhabaran daripada keluarga di kampung halaman.
Lanjutan daripada penceritaan tersebut, dikatakan Imam Umpau yang dilantik sebagai Imam di Kampung Sabangan, Kinabatangan sebelumnya telah mempunyai isteri di Desa Kurau (atau Karau), Banjarmasin dan dikurniakan seorang anak lelaki dan anak perempuan.
Setelah sekian lama menetap di Kampung Sabangan, Imam Umpau berkahwin dengan seorang wanita tempatan yang dikenali sebagai ‘Nenek Panjang’ dan dikurniakan lima orang anak: Hajah Aminah, Imam Othman, Hajah Muyot, Salamah dan Hj Esah.
Walaupun warisnya masih belum dijejaki di Banjarmasin, harapan masih tinggi agar generasi seterusnya dapat menyambung usaha pencarian ini demi menghubungkan semula silaturrahim yang terputus.
Wakil Generasi Ketiga, Haji Al Fazli Bin Hj Mohd Salleh dalam ucapannya menyeru agar ahli keluarga PEWARIS menjadikan majlis seumpama ini sebagai ruang untuk memupuk kasih sayang, menghormati yang lebih tua dan memperkukuh muafakat dalam keluarga tanpa mengira latar belakang, taraf hidup mahupun fahaman politik.
Imam Umpau diambil sebagai ikon penyatuan dan dituakan dalam keluarga besar ini.
Jangan terlintas dalam hati untuk bermegah dengan gabungan keluarga yang besar ini, kerana ia adalah wadah untuk saling hormat menghormati dan memuliakan orang yang lebih tua dari kita, tidak kira dalam rumpun ini maupun hubungan dalam masyarakat, kerana kita juga terdiri dari rumpun yang besar dalam masyarat dari pelbagai cabang keluarga yang lain.
Majlis juga diserikan dengan tazkirah oleh Ustaz Noizamudinsah bin Sany @ Jamry yang menekankan pentingnya menjaga hubungan kekeluargaan.
Menurut beliau, ikatan adik-beradik yang kukuh menjadi asas kekuatan hubungan dalam masyarakat.
Ketepikan hal yang remeh-temeh, cari ahli keluarga yang dipercayai unyuk menjadi penengah sekiranya berlaku selisih faham.
Jangan sampai berlarutan dan tidak terbendung, semuanya itu akan menjadi gangguan kepada ibu bapa kita, terutama yang telah awal ke alam barzah.
Acara turut menyaksikan penyerahan simbolik jawatan Pengerusi Penganjur daripada Haji Ghani Bin Sadayar kepada Puan Mariam Arjan @ Sulaiman, cucu kepada Imam Umpau, sebagai peneraju majlis pada masa akan datang.
Penyerahan turut disaksikan oleh Pengarah Perlaksana Majlis Uno bin Adam.
Acara sukaneka dan senamrobik bermula seawal jam 7.00 pagi lagi. Kelibat anak-anak kecil dan para remaja sibuk mengadakan pelbagai 12 acara sukaneka yang diatur urus oleh Ketua Bahagian Sukanneka Saudara Zulkifli Haji Ismail, cicit, termasuk acara senam robik yang yang diketuai oleh Hassan Majid.
Aktiviti tersebut telah memberi ruang untuk anak-anak dan para remaja bercampur baur dan saling kenal mengenal dengan lebih mesra lagi serta salin berusul susur galur masing-masing.
Tema T-shirt ungu putih yang dikenakan setiap yang hadir dengan pelbagai reka bentuk, tertulis nama keluarga masing-masing, memudahkan mereka saling mengenali.
Manakala, generasi yang lebih dewasa dan agak berumur, sekali mendekati tempat acara sukaneka dijalankan, melihat perjalanan acara dijalankan.
Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan duduk berbual di dalam dewan berbual dan bertanya khabar.
Setiap kali generasi awal yang tiba masuk ke dalam dewan, kelihatan begitu mesra, bersalaman, berziarah dan berpelukan, kelihatan air mata yang mengalir kegembiraan dari pertemuan yang lama tertangguh, terimbau kenangan kisah lama yang merindukan.
Suasana semakin hening saat majlis menyampaikan Anugerah Kenangan kepada 15 orang waris-waris kepada anak-anak Imam Umpau yang telah meninggal dunia, diiringi doa selamat dan doa arwah oleh Imam Wahab Bin Esah.
Majlis ditutup dengan simbolik pemotongan kek dan momen mengharukan apabila Puan Mariam menyuapkan kek kepada adik-beradiknya yang tua sebagai tanda kasih adik kepada saudara yang telah banyak berkorban sewaktu mereka kecil dahulu hingga hari ini.
Majlis ini menjadi bukti bahawa semangat kekeluargaan dan warisan yang diwarisi daripada Imam Umpau masih subur dalam jiwa anak cucunya – satu ikatan yang tidak akan pernah bernoktah.- Sumbangan JUBAIDAH HJ GHANI.










