Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengambil perhatian serius kejadian salah laku buli yang berlaku di sebuah sekolah di Sabah, baru-baru ini.
Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, pihak sekolah telah mengambil tindakan serta-merta berdasarkan kepada peraturan-peraturan disiplin yang sedang berkuat kuasa.
Katanya, hukuman gantung sekolah telah dikenakan terhadap murid yang terlibat.
“Di samping itu, murid terlibat juga telah dirujuk kepada Guru Bimbingan dan Kaunseling untuk tujuan intervensi.
“JPNS tidak berkompromi dengan salah laku buli dan akan sentiasa memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid-murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Sebelum ini, seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas mendakwa anak lelakinya yang berusia 14 tahun dibelasah oleh pelajar senior.
Dalam kejadian berkenaan, difahamkan mangsa mendakwa ditendang di perut, ditampar pipi dan ditumbuk hidung oleh seorang pelajar tingkatan empat sehingga mengakibatkan kecederaan.






