Julkalani letak jawatan Ketua Penaja PCS Sulabayan

SEMPORNA: Julkalani Haji Abd Rahman, mantan pendidik dan tokoh seni budaya Semporna yang tidak asing lagi, hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Penaja Parti Cinta Sabah (PCS) N64 Sulabayan serta keluar daripada keahlian parti tersebut.
Julkalani dikenali sebagai seorang pendidik yang banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dan kebudayaan.
Beliau aktif memperjuangkan seni budaya tempatan, menjadikan namanya dekat di hati masyarakat Semporna.
Julkalani menegaskan keputusan ini dibuat atas pertimbangan peribadi dengan beberapa alasan munasabah, antaranya keinginan menumpukan usaha kepada pembangunan masyarakat dan seni budaya melalui platform politik yang lebih inklusif.
Selain itu, beliau mengambil langkah itu dengan harapan agar suara masyarakat Semporna, khususnya generasi muda dan penggiat budaya, mendapat perhatian sewajarnya.
Keputusan itu juga dibuat kerana dorongan untuk menyumbang kepada agenda pembangunan daerah melalui kerjasama dengan kepimpinan baharu.
Beliau menekankan bahawa keputusan ini tidak bertujuan menyinggung mana-mana pihak, sebaliknya sebagai langkah memperkukuh komitmen beliau terhadap perjuangan masyarakat.

Julkalani Hj Abd Rahman