Oleh Wu Vuide
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri mengarahkan semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun di Sabah supaya mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan secara terus kepada Ketua Menteri, bermula tahun depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata langkah itu bertujuan memastikan Kerajaan Negeri menerima maklumat yang tepat dan terkini mengenai kemajuan projek, kedudukan kewangan, penyampaian perkhidmatan serta prestasi keseluruhan setiap organisasi.
“Langkah ini penting bagi memantau prestasi setiap entiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri Negeri, di sini.
Hajiji memberi amaran bahawa mana-mana CEO, GGM atau GM yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) atau menunjukkan prestasi tidak memuaskan akan diteliti kedudukannya, termasuk kemungkinan penempatan semula atau penamatan perkhidmatan.
Beliau turut menggesa semua ketua organisasi menetapkan KPI yang jelas dan boleh diukur selaras dengan mandat masing-masing.
“Semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi standard tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, pelaksanaan telus dan kebertanggungjawaban kepada rakyat,” katanya.
Mengakui setiap GLC dan badan berkanun mempunyai mandat berbeza, sama ada berorientasikan keuntungan komersial atau perkhidmatan sosial, Hajiji menegaskan semua entiti tetap bertanggungjawab menunjukkan tahap komitmen, kecekapan dan integriti yang tinggi.
“Setiap CEO, GGM dan GM yang dilantik perlu menyumbang secara bertanggungjawab seperti yang diharapkan kerajaan dan rakyat bagi memacu kemajuan Sabah.
“Dengan pemantauan yang lebih tersusun dan akauntabiliti yang diperkukuh, agenda Sabah Maju Jaya 2.0 akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

HAJIJI NOOR





