KOTA KINABALU : Borneo Housing Mortgage Finance Berhad (BHMFB) membayar dividen sebanyak RM15 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi tahun kewangan berakhir 2025.
Pengerusi BHMFB, Tan Sri Datuk Ammar Dr. Abdul Aziz Husain berkata, pembayaran dividen itu merupakan antara pencapaian syarikat hasil prestasi yang semakin baik dalam tempoh kebelakangan ini.
“BHMFB mencatat prestasi positif apabila membayar dividen sebanyak RM15 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak bagi tahun kewangan berakhir 2025.
“Dividen RM15 juta ini akan dibayar secara sama rata kepada kedua-dua kerajaan negeri.
“Jumlah dividen yang dibayar kepada kedua-dua kerajaan negeri sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini adalah kira-kira RM70 juta, termasuk pembayaran RM14 juta setiap tahun sejak 2021,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu di sini, pada Isnin.
Menurut Abdul Aziz, tujuan kunjungan adalah bagi memaklumkan Tun Musa berkenaan pembangunan dan prestasi kewangan BHMFB.
Sementara itu, beliau berkata BHMFB kini mempunyai jumlah aset sebanyak RM1.6 bilion, yang menunjukkan pertumbuhan positif dari tahun ke tahun.
Menurutnya, prestasi syarikat bagi tahun ini juga menunjukkan perkembangan positif dengan pemantauan prestasi dibuat dari bulan ke bulan.
“Setakat bulan Ogos ini, prestasinya agak baik dan insya-Allah kita akan dapat menyumbang mungkin lebih lagi pada tahun akan datang, tidak kurang daripada yang telah kita berikan sebelum ini,” jelasnya.
BHMFB merupakan kerjasama antara Sabah dan Sarawak melalui Sarawak Financial Secretary Incorporated dan Qhazanah Sabah Berhad dengan pegangan saham masing-masing sebanyak 50 peratus.
Hadir sama, isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Faridah Tussin dan Ketua Pegawai Eksekutif BHMFB, Datuk Fauziah Abu Bakar Titingan.

Tun Musa (empat dari kanan) menerima cenderamata daripada Abdul Aziz (kiri).




