SK Sungai Bedaun tempat ketiga NSC Kebangsaan 2024

LABUAN: Dua murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Sungai Bedaun (SKSB) terus mencipta nama apabila berjaya mencapai kejayaan cemerlang dalam Pertandingan National Space Challenge (NSC) 2024 Peringkat Kebangsaan, anjuran Planetarium Negara.
Pertandingan yang berlangsung secara dalam talian pada 17 Disember 2024 itu telah menghimpunkan penyertaan dari 12 buah negeri, memberi fokus kepada tema Angkasa dan Perubahan Iklim, khususnya berkaitan misi pemantauan taburan hujan luar biasa melalui data tekanan atmosfera dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Dua murid cemerlang, Muhammad Fakrul Aiman Nor Azman dan Muhammad Rasyad Sahrum, telah mewakili SK Sungai Bedaun dalam kategori Space Quest dan Space Venture dan diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Mereka membawa pulang hadiah berupa sebuah teleskop, jam digital serta sijil penghargaan dalam keputusan rasmi yang turut diumumkan secara dalam talian pada 18 Disember 2024.
Guru Besar SK Sungai Bedaun, Haji Adam Abd Rahim menyampaikan hadiah pada majlis perhimpunan rasmi sekolah 14 April lalu.
Guru pembimbing, Faridah Liasmat dan Zuhairah Mahmud berkata, kejayaan ini adalah hasil latihan intensif, bimbingan berterusan serta semangat ingin tahu yang tinggi dalam kalangan murid.
“Walaupun pertandingan dijalankan secara dalam talian, kedua-dua murid ini berjaya menunjukkan kreativiti dan kefahaman yang mendalam terhadap konsep sains angkasa serta kepentingan pemantauan iklim global,”kata Faridah.
Sementara itu, Haji Adam menyatakan rasa bangga atas pencapaian itu dan berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada murid lain untuk aktif menyertai program berasaskan STEM dan sains angkasa.
“Kejayaan ini bukan sahaja mencerminkan potensi besar murid luar bandar, tetapi juga membuktikan bahawa penyertaan secara dalam talian bukan penghalang untuk cemerlang di peringkat kebangsaan.
“Tahniah kepada kedua-dua murid berkenaan yang beroleh kejayaan membanggankan SK Sungai Bedaun.
“Terima kasih kepada guru pembimbing, Faridah Liasmat dan Zuhairah Mahmud yang memastikan peserta memahami objektif pertandingan itu sekaligus meraih tempat ketiga kebangsaan,”katanya.

TAHNIAH …. Haji Adam (dua kiri) bersama Rasyad (kiri) dan Fakhrul Aiman (kanan) semasa Majlis Penyampaian Hadiah di SK Sungai Bedaun pada Isnin lalu.