FKAL UMS raih pengiktirafan antarabangsa ABEST21

Perkukuh reputasi global pendidikan kewangan Islam

LABUAN: Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL), Universiti Malaysia Sabah (UMS) sekali lagi melakar pencapaian membanggakan di pentas antarabangsa apabila program Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam menerima pengiktirafan dan akreditasi antarabangsa daripada ABEST21 International sempena ABEST21 International Annual Conference 2026 yang berlangsung di Kyoto International Conference Center (KICC), Kyoto, Jepun.
Pengiktirafan berprestij itu mencerminkan komitmen berterusan FKAL dalam memperkukuh kecemerlangan akademik, jaminan kualiti, pengantarabangsaan serta pembangunan graduan berdaya saing global dalam bidang kewangan dan kewangan Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif ABEST21 International merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ABEST21 International Annual Conference 2026, Professor Emeritus Dr. Fumio Itoh, secara rasmi menjemput Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) FKAL, Dr. Ricky Chia Chee Jiun serta Ketua Program Kewangan Islam, Dr. Maisyarah Stapah @ Salleh untuk menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi Antarabangsa ABEST21 dan Simposium Panel sempena persidangan berkenaan.
Dalam sesi simposium itu, Dr. Ricky turut dijemput sebagai salah seorang panelis antarabangsa bersama wakil dari Jepun, Indonesia dan Malaysia bagi membincangkan isu pembangunan pendidikan tinggi serta modal insan di negara-negara Global South.
Dr. Ricky merupakan alumni FKAL dan memiliki Ijazah Sarjana Muda serta Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi Kewangan Antarabangsa daripada Universiti Malaysia Sabah.
Pada tahun 2015, beliau menerima biasiswa berprestij Kerajaan Jepun Monbukagakusho (MEXT Scholarship) yang membolehkannya melanjutkan pengajian Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Ekonomi di Yokohama National University, Jepun.
Bidang kepakaran beliau meliputi kewangan antarabangsa, ekonomi, ekonomi kewangan dan perbankan.
Dalam pembentangannya bertajuk “Nurturing Future-Ready Human Capital in the Global South: Experience from the Labuan Faculty of International Finance, Universiti Malaysia Sabah”, Dr. Ricky berkongsi pengalaman serta inisiatif strategik fakulti dalam melahirkan graduan berdaya saing global yang dilengkapi kemahiran masa hadapan, nilai kelestarian, pendedahan industri dan perspektif antarabangsa.
Pembentangan itu turut menekankan beberapa aspek penting termasuk pembangunan kurikulum yang relevan dengan kehendak industri dan masa hadapan, kerjasama akademia-industri, pendidikan kewangan digital, integrasi ESG, pengantarabangsaan serta kepentingan melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang akademik, malah adaptif terhadap teknologi dan bertanggungjawab secara sosial.
Beliau turut menegaskan kepentingan memperkukuh daya tahan pendidikan serta membangunkan graduan yang mampu menyumbang secara signifikan kepada pembangunan negara dan global.
Pengiktirafan serta akreditasi antarabangsa yang diterima program Kewangan Islam itu membuktikan program berkenaan berjaya memenuhi standard dan penanda aras antarabangsa dalam pendidikan tinggi.
Pencapaian tersebut dijangka meningkatkan lagi keterlihatan antarabangsa FKAL, memperkukuh keyakinan pihak berkepentingan, meningkatkan enrolmen pelajar serta memperluas kebolehpasaran graduan pada masa hadapan.
“Pencapaian ini sekali gus memperkukuhkan komitmen Universiti Malaysia Sabah dalam memperkasakan kualiti akademik, jaringan global dan pengiktirafan antarabangsa dalam pendidikan tinggi,” katanya.

HADIR …. Dr. Ricky Chia Chee Jiun (tiga kanan) dan Dr. Maisyarah Stapah @ Salleh (kanan) bersama Professor Emeritus Dr. Fumio Itoh (tengah) semasa menghadiri Majlis Penyampaian Sijil Akreditasi Antarabangsa ABEST21 di Kyoto, Jepun.