Pelabuhan Tawau terima dua kren dermaga baharu bernilai RM70 juta

TAWAU: Pelabuhan Tawau menerima dua kren dermaga (quay crane) baharu bernilai RM70 juta, sekali gus memperkukuh kapasiti pengendalian kargo serta meningkatkan kecekapan operasi pelabuhan itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata pelaburan berkenaan merupakan langkah strategik dalam memperkasakan infrastruktur pelabuhan Sabah serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri bagi jangka panjang.
Beliau berkata, pelaburan menerusi Sabah Ports Sdn Bhd (SPSB) itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memodenkan infrastruktur utama selain meningkatkan kecekapan dan daya saing pelabuhan, khususnya di Pantai Timur Sabah.
“Apabila mula beroperasi kelak, kedua-dua kren ini akan meningkatkan produktiviti, memperkukuh kebolehpercayaan operasi serta mempertingkat kecekapan pengendalian kargo di Pelabuhan Tawau.
“Ia juga membolehkan tempoh pusing ganti kapal dipercepatkan, mengurangkan masa menunggu dan memperkukuh keupayaan pelabuhan mengendalikan kapal bersaiz lebih besar serta peningkatan jumlah kargo,” katanya ketika berucap pada majlis penerimaan kren berkenaan di Pelabuhan Tawau, di sini.
Hajiji berkata, sistem pelabuhan yang cekap dan berdaya saing amat penting bagi menyokong sektor ekonomi utama, khususnya industri berorientasikan eksport yang menjadi antara penyumbang utama kepada ekonomi Sabah.
Menurutnya, penaiktarafan itu akan terus memperkukuh peranan Pelabuhan Tawau sebagai pintu masuk maritim utama di Pantai Timur Sabah di samping meningkatkan hubungan perdagangan dengan pasaran domestik dan serantau.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPSB, Suria Capital Holdings Berhad serta semua pihak yang terbabit atas komitmen memperkukuh infrastruktur maritim negeri.
Sementara itu, Pengerusi Suria Capital Holdings Berhad, Datuk Seri Abd Rahman Dahlan, berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pembangunan infrastruktur strategik.
Katanya, Pelabuhan Tawau memainkan peranan penting dalam menyokong perdagangan, sektor perindustrian dan jaringan perhubungan serantau di Pantai Timur Sabah.
“Pelaburan RM70 juta ini akan memastikan Pelabuhan Tawau bersedia memenuhi permintaan perdagangan pada masa depan serta menyokong pertumbuhan ekonomi Tawau dan kawasan sekitarnya,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Suria Capital dan SPSB, Datuk Ahmad Rizal Dahli, berkata pemerolehan dua kren baharu itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan SPSB memodenkan Pelabuhan Tawau.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam pembangunan pelabuhan. Apabila beroperasi nanti, ia akan meningkatkan kecekapan dan kebolehpercayaan pengendalian kargo, mempertingkat mutu perkhidmatan kepada pengguna pelabuhan serta menyokong pertumbuhan sektor perdagangan dan logistik Sabah,” katanya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman; serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Mojuntin.

LANCARKAN …. Hajiji dan Ewon bersama tetamu melancarkan dua kren dermaga baharu bernilai RM70 juta di Pelabuhan Tawau.