Oleh FARDY BUNGGA
SEMPORNA: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.
Mangsa, Lagate Gildik, 36, dikatakan menyelam untuk menangkap ikan namun disedari tidak muncul semula ke permukaan selepas itu.
Usaha mencari yang dilakukan rakan-rakannya juga gagal sebelum menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Air Semporna, Akimullah Adnan berkata, pihaknya menerima makluman daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Semporna pada jam 9 pagi tadi (kelmarin).
Katanya, sepasukan tujuh anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian menggunakan bot Kevlar-1 sebelum tiba pada jam 10.09 pagi.
“Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai hilang ketika menyelam untuk menangkap ikan.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan di sekitar kawasan tempat mangsa dilaporkan hilang.
“Setakat ini, mangsa masih belum ditemui dan pasukan kami berdepan kekangan liputan GIRN serta talian telefon di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, operasi SAR turut dibantu APMM Semporna dan sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.






