Oleh JOHN TAMBANAN
KENINGAU: Keprihatinan terhadap masyarakat terus dizahirkan menerusi kunjungan ziarah kasih apabila Ketua Masyarakat Cina (KMC) Keningau yang juga Presiden Persatuan Hakka Keningau, Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Keningau serta Pengerusi The Chong’s Clan Association Sabah, Kapitan Anthony Chong Kong Ming, mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor yang juga Pembantu Menteri Kewangan II, Dato’ Sr. Mohd Ishak Ayub, menziarahi Puan Tai Su Hui yang sedang menerima rawatan di Taman Wawasan Juta, baru-baru ini.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Past District Governor (PDG) Lions Club of Keningau Mandarin, Ronny Hiew.
Kunjungan berkenaan bertujuan menyampaikan tanda keprihatinan, sokongan dan doa kepada Puan Tai Su Hui serta keluarganya yang sedang melalui ujian kesihatan.
Pada pertemuan itu, Anthony menyampaikan salam dan sokongan daripada Mohd Ishak, selain mendoakan agar Puan Tai Su Hui diberikan kekuatan dan ketabahan sepanjang menjalani rawatan.
Kunjungan itu bukan sekadar ziarah, malah mencerminkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap mereka yang sedang berdepan cabaran kesihatan.
Kehadiran mereka juga menunjukkan bahawa kepedulian tidak semestinya dizahirkan melalui perkara besar, sebaliknya boleh disampaikan dengan meluangkan masa bertanya khabar, memberikan sokongan dan mendoakan kesembuhan.
Semoga Puan Tai Su Hui dikurniakan kesembuhan, dipermudahkan segala urusan sepanjang menjalani rawatan dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa bersama keluarga tercinta.

PRIHATIN — Kapitan Anthony Chong (kiri), mewakili Mohd Ishak Ayub, menyerahkan sumbangan kepada Puan Tai Su Hui sambil diperhatikan anak lelakinya, Ah Wei, bekas Setiausaha JKDB Pekan Keningau.






