Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Rancangan Filipina untuk menaik taraf Pulau Balabac bagi tujuan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia dan tidak seharusnya menimbulkan kebimbangan di Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, Pulau Balabac adalah wilayah Filipina dan sebarang pembangunan berkaitan ketenteraan AS di pulau berkenaan tidak melibatkan Malaysia.
“Jangan jadikan perkara ini sebagai satu isu. Amerika Syarikat sedang menubuhkan pangkalan tentera di Filipina, di Pulau Balabac. Itu adalah wilayah Filipina dan tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia atau pihak lain,” katanya.
Hajiji berkata, beliau tidak mengetahui objektif sebenar di sebalik penubuhan pangkalan tentera itu, namun perkembangan berkenaan perlu dilihat secara positif kerana ia mungkin berkaitan keperluan AS mengekalkan pangkalan ketenteraan di kawasan timur.
Beliau turut menegaskan bahawa Sabah tidak akan terjejas dengan perkembangan di pulau berkenaan.
Hajiji berkata demikian selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Numbak yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Likas, di sini, semalam.
Dalam lawatan itu, beliau mengumumkan bantuan RM3,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) warganegara bagi meringankan beban keluarga yang terjejas.
Bantuan berkenaan membabitkan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, RM1,000 daripada Kerajaan Persekutuan dan RM1,000 daripada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
“Saya ingin umumkan kerajaan memberi bantuan sebanyak RM3,000 kepada setiap KIR warganegara bagi meringankan beban mereka,” katanya.
Kebakaran itu menjejaskan 110 KIR, semuanya warganegara Malaysia, dengan 73 KIR ditempatkan di PPS Dewan Damai, manakala 37 lagi di PPS Dewan Serbaguna Likas.
Selain itu, kerajaan akan menyediakan bantuan peralatan bernilai RM20,000 kepada setiap KIR warganegara terjejas bagi membantu pembinaan semula rumah yang musnah.
Katanya, urusan pembinaan semula rumah akan dikendalikan Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), termasuk menentukan lokasi pembinaan sama ada di kawasan asal atau tempat lain.
“Atas dasar kemanusiaan, kerajaan turut menyalurkan bantuan RM1,000 kepada setiap KIR bukan warganegara yang terjejas, selain bantuan makanan dan keperluan asas lain,” katanya.

BANTUAN…Hajiji Noor menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran membabitkan KIR warganegara ketika melawat mereka di PPS Dewan Serbaguna Likas, Kota Kinabalu, semalam.






