KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa syarikat dalam sektor pengangkutan darat awam dan barangan yang layak supaya segera mendaftarkan kenderaan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) sebelum penggunaan wajib Fleet Card SKDS dikuatkuasakan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata penggunaan wajib Fleet Card SKDS di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan akan dilaksanakan pada tarikh yang akan diumumkan kelak.
Menurut beliau, syarikat yang berkelayakan perlu membuat pendaftaran SKDS dan memiliki Fleet Card bagi membolehkan kenderaan mereka terus menikmati subsidi diesel yang disediakan kerajaan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay Petronas di Stesen Petronas Jalan Pintas Kepayan, di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif P Petronas Dagangan Berhad (PDB), Azrul Osman Rani; Pengurus Besar Kanan Perhubungan Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas, Khairuddin Jaafar; serta Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abd Wahab.
Armizan mengingatkan syarikat yang layak supaya tidak menangguhkan pendaftaran memandangkan pelaksanaan penyaluran subsidi diesel melalui SKDS telah diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan sejak 4 Mei lalu.
“Ini penting bagi membolehkan 33 jenis kenderaan yang tersenarai di bawah SKDS menerima subsidi diesel, melibatkan 10 jenis kenderaan sektor pengangkutan awam darat dan 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.
“Peluasan SKDS merupakan pendekatan kerajaan untuk menangani isu ketirisan subsidi diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital.
“Penggunaan Fleet Card dalam pelaksanaan SKDS juga memastikan subsidi diesel dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar,” katanya.
Beliau berkata, sehingga 14 Jun 2026, sebanyak 3,933 syarikat melibatkan 14,415 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS di Sabah, manakala Sarawak merekodkan 2,869 syarikat dengan 14,447 kenderaan dan Wilayah Persekutuan Labuan sebanyak 269 syarikat melibatkan 769 kenderaan.
Menurutnya, pendaftaran SKDS membolehkan syarikat yang layak menikmati subsidi diesel melalui Fleet Card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan awam darat.
Armizan berkata, peluasan SKDS turut bertujuan mengekang ketirisan subsidi diesel akibat aktiviti penyeludupan, penyelewengan serta penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin (PTI).
“Susulan krisis tenaga yang berpunca daripada konflik di Asia Barat, kos subsidi diesel yang ditanggung kerajaan terus meningkat, termasuk di Sabah dan Sarawak yang masing-masing mencecah RM563 juta dan RM647 juta bagi tempoh Mac hingga April tahun ini.
“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sehingga April 2026, jumlah keseluruhan subsidi diesel yang ditanggung kerajaan mencecah RM1.4 bilion. Kerajaan akan terus menanggung peningkatan bil subsidi bahan api selagi harga minyak dunia kekal tinggi,” katanya.
Beliau menegaskan kerajaan komited meneruskan penyaluran subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri sebagai langkah intervensi serta mitigasi bagi menangani peningkatan kos sara hidup dan pergerakan harga barangan serta perkhidmatan.
“Penyaluran subsidi secara bersasar juga penting sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan, selain meningkatkan keberkesanan dan ketangkasan penguatkuasaan,” katanya.-John Tambanan.

Armizan (tengah) diiringi Siti Ayu, Azrul, Khairuddin serta pegawai kanan Petronas bergambar bersama wakil syarikat penerima Fleet Card SmartPay Petronas sebagai simbolik penyerahan kad berkenaan.






