Pembangunan infrastruktur terus jadi keutamaan kerajaan negeri – Joachim

KOTA KINABALU: Pembangunan infrastruktur sentiasa menjadi antara keutamaan Kerajaan Negeri Sabah dalam memastikan kemudahan berkualiti serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, infrastruktur berkualiti bukan sahaja menyediakan kemudahan kepada rakyat, malah membuka peluang ekonomi, memperkukuh hubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menyokong pertumbuhan pelaburan mampan.
Beliau berkata usaha membangunkan infrastruktur di Sabah bagaimanapun berdepan cabaran, termasuk keluasan negeri, taburan penduduk yang berselerak serta keadaan muka bumi yang berbukit-bukau dan berpaya, selain terdedah kepada risiko gempa bumi.
“Faktor-faktor ini menjadikan pelaksanaan projek infrastruktur lebih kompleks dan memerlukan kos yang tinggi.
“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri tetap komited untuk menyediakan dan membangunkan kemudahan serta prasarana terbaik mengikut kemampuan dan sumber yang ada demi kesejahteraan seluruh rakyat Sabah,” katanya ketika merasmikan Persidangan Borneo Empowerment in Standard and Transformation (BEST) 2026 di sini, Selasa.
Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti berkata, setiap pembangunan perlu dirancang dengan teliti, dilaksanakan mengikut standard tinggi serta diurus dengan penuh integriti supaya manfaatnya dapat dinikmati generasi kini dan akan datang.
Dalam pada itu, beliau menegaskan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan tidak seharusnya berkompromi terhadap standard, kualiti dan piawaian ditetapkan dalam usaha mengejar kemajuan teknologi.
“Kita kini berada dalam era perubahan teknologi yang berlaku dengan begitu pantas. Standard dan teknologi perlu bergerak seiring. Standard memastikan kualiti manakala teknologi meningkatkan kecekapan.
“Apabila kedua-duanya digabungkan, kita mampu menghasilkan pembangunan yang lebih berkualiti, selamat dan mampan,” katanya.
Beliau berharap persidangan berkenaan terus menjadi platform yang menghubungkan semua pihak dalam memperkukuh budaya ilmu, inovasi dan profesionalisme.
Persidangan dua hari itu disertai lebih 300 peserta, antaranya pegawai kerajaan, perunding pembinaan, pengamal keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Hadir sama Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Sdn Bhd Datuk Ir. Shahelmey Yahya dan Timbalan Pengarah Kerja Raya Sektor Jeraya, Jabatan Kerja Raya Hafez Shabuddin.

Joachim ketika menyampaikan ucapan. 

Joachim (tengah) melawat reruai pameran.