Sabah FC, redONE Mobile jalin kerjasama strategik

KOTA KINABALU: redONE Network Sdn Bhd (redONE Mobile) dengan bangganya mengumumkan kerjasama strategik bersama Sabah Football Club Sdn Bhd (Sabah FC) bagi musim 2025/2026. 
Kolaborasi itu mencerminkan matlamat bersama untuk menyokong pembangunan sukan tempatan sambil memberi lebih manfaat kepada komuniti penyokong di Sabah melalui usaha penjenamaan dan penglibatan bersama.
Menerusi perjanjian ini, redONE Mobile adalah rakan strategik dan penyedia perkhidmatan telekomunikasi rasmi bagi pasukan Sabah FC, yang juga dikenali sebagai The Rhinos, yang aktif bertanding dalam kejohanan bola sepak kebangsaan anjuran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). 
Kerjasama ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara peminat setia di Sabah dengan pasukan kegemaran mereka, malah turut memperkukuh keupayaan dan daya saing Sabah FC dengan sokongan yang relevan bagi terus memacu prestasi mereka di arena bola sepak kebangsaan.
Perjanjian bersama ini telah dimeterai secara rasmi di sini menandakan bermulanya kerjasama strategik antara redONE Mobile dan Sabah FC. 
Menandatangani perjanjian itu bagi pihak masing-masing ialah Ketua Pegawai Eksekutif redONE Mobile, Ameen Amaendran dan Pengurus Besar Sabah FC, Md. Joh Hj. Wid.
Sesi berkenaan turut disaksikan oleh Ketua Pegawai Jualan Kumpulan redONE Mobile, Ben Teh Beng Hock serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmey Yahya.
Hadir sama Timbalan Presiden SAFA, Datuk Hj. Awang Kadin Tang serta tetamu kehormat yang lain.
Melalui kerjasama strategik ini, redONE Mobile akan memperkenalkan pelan pascabayar tanpa had eksklusif yang direka khas untuk peminat bola sepak di Malaysia. 
Dengan hanya RM50 sebulan, pelan ini menawarkan data ekstra dan panggilan tanpa had di rangkaian terluas serta tanpa kontrak. 
Lebih menarik, pelan Postpaid FC50 ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menawarkan dua jersi edisi terhad Sabah FC 2025, ‘Home’ dan ‘Away’ secara percuma.
Ameen berkata, Sabah FC sentiasa mewakili semangat juang dan kebanggaan rakyat Sabah. 
“Kami berbesar hati untuk terus bersama-sama pasukan ini, menyokong mereka di dalam dan di luar padang, sambil mengukuhkan komitmen kami terhadap komuniti tempatan melalui rangkaian mudah alih yang lebih baik dan perkhidmatan yang mudah diakses. 
“Di redONE Mobile, kami percaya kepada kerjasama yang membawa nilai sebenar bukan sahaja untuk jenama atau sukan tetapi kepada komuniti secara menyeluruh. 
“Dengan inisiatif seperti pelan eksklusif Postpaid FC50, kami berbangga dapat menawarkan rakyat Sabah, khususnya peminat Sabah FC, lebih daripada sekadar pelan postpaid. 
“Kami menawarkan peluang untuk kekal berhubung sambil terus menyokong pasukan kesayangan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Shahelmey berkata, perjanjian baharu ini mewakili satu evolusi penting dalam kerjasama kami bersama redONE. 
Katanya, mengatasi model penajaan tradisional, kerjasama strategik ini membolehkan Sabah FC memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyokong dan mempromosikan pelan redONE | Sabah FC. 
“Menerusi inisiatif ini, kelab akan menerima manfaat daripada aliran pendapatan tambahan, termasuk insentif dan komisen yang akan menyumbang kepada kelestarian jangka panjang kelab serta usaha untuk meningkatkan penglibatan peminat,” katanya.
Kerjasama ini menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen redONE Mobile untuk menyokong sukan tempatan sambil memberikan lebih manfaat kepada rakyat Malaysia. 
Dengan matlamat yang sama dan sokongan padu daripada peminat, redONE Mobile dan Sabah FC optimis untuk menghadapi musim kejayaan bersama, di dalam dan di luar padang.
Untuk maklumat lanjut mengenai tawaran redONE Mobile atau untuk menjadi Penasihat Jualan redONE dan membuka peluang pendapatan melalui pelan mudah alih Sabah FC eksklusif serta produk dan perkhidmatan lain, sila layari redonemobile.com.my.

ALBUM …. Para tetamu kehormat merakamkan gambar kenangan selepas selesainya majlis tandatangan perjanjian rakan strategik itu.