Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk seorang warga emas rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah di Kampung Darau, Manggatal, di sini, awal pagi semalam.
Mangsa dikenali sebagai Loupin Adow, 67 ditemui di dalam rumah berkenaan bersama anaknya, Azman Maduin, 50, serta cucunya, Nurul Asyiqin Alinor, 29.
Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, seorang lagi mangsa iaitu suami kepada Nurul yang berusia 34 tahun dilaporkan turut mengalami kecederaan melecur akibat terkena bahang api.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Noor Sherriyana Bohari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 1.43 pagi.
Katanya, sepasukan 13 anggota dan pegawai serta jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi untuk membantu.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 144 meter persegi yang musnah sepenuhnya.
“Pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan dua pancutan air daripada tangki jentera,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.10 pagi sebelum pemeriksaan di dalam rumah menemukan ketiga-tiga mangsa dalam keadaan rentung.
“Mayat semua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.

1.TERBAKAR …. Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan kira-kira 144 meter persegi.

RENTUNG …. Pasukan bomba berjaya menemukan mangsa dalam keadaan rentung






