SANDAKAN: Tiga daerah di negeri ini diisytihar sebagai kawasan bencana berikutan banjir yang melanda beberapa kampung sejak malam Rabu.
Daerah terbabit ialah Sandakan, Beluran dam Pitas, masing-masing diisytihar banjir bermula pada jam 4 pagi, 11 malam dan 9.45 pagi Khamis.
Di Sandakan, kawasan yang terjejas setakat ini ialah di Kampung Sungai Memanjang dengan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka iaitu di Masjid Nur Iman, Sungai Memanjang dan Masjid Nur Hidayah, Kampung Garinono.
Pemindahan mangsa dilaksanakan sejak pagi Khamis setelah kediaman penduduk mula dinaiki air dan tidak selamat untuk diduduki.
Sementara itu, seramai 65 mangsa sudah dipindahkan di dua PPS di Beluran sejak malam Rabu, masing-masing 20 mangsa di Dewan Kampung Balaban Jaya dan 45 mangsa di Dewan Kampung Sungai Nangka.
Di Pitas pula, belum ada PPS dibuka setakat ini, namun belum ada laporan pembukaan PPS oleh Pegawai Daerah selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD), Asdie @ Mohd Faizal Hussin.
Banjir di tiga daerah terbabit berpunca daripada hujan berterusan sejak semalam yang menyebabkan paras air beberapa sungai meningkat hingga melimpahi tebing dan membanjiri kawasan rendah.
Berdasarkan laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selain banjir, kejadian tanah runtuh turut dilaporkan berlaku di Taman Sentosa Sandakan pada jam 9 pagi Khamis.
Dalam pada itu, beberapa jalan di daerah Beluran, Kudat, Pitas dan Kota Marudu terputus hubungan pada Khamis akibat bencana banjir yang melanda selepas hujan lebat berterusan malam Rabu.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dalam kenyataan memberitahu kilometer (KM) 3.68 Jalan Pekan Sungai-Sungai di Beluran tidak boleh dilalui oleh mana-mana jenis kenderaan akibat air sungai melimpah dan tiada jalan alternatif yang boleh digunakan buat masa ini.
“Di Kudat, Jalan Sebayan terputus hubungan di KM0.15 dan KM2.8 kerana banjir yang berlaku akibat hujan lebat berterusan. Jalan alternatif bagi KM0.15 adalah Jalan Sebayan Nangka, manakala tiada jalan alternatif buat KM2.8,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, KM4.44 Jalan Pinapak di Pitas dan KM125 Jalan Kota Kinabalu-Kudat di Kota Marudu terputus hubungan akibat kenaikan paras air sungai kerana hujan lebat dan tiada jalan alternatif untuk pengguna buat masa ini.
Sementara itu, KM0.32 Jalan Panikuan Toporoi di Kudat hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, manakala KM0.42 Jalan Pantai Delima di Pitas hanya boleh dilalui kenderaan berat akibat banjir kerana hujan lebat berterusan.








