Oleh JAMES LEONG
TAWAU: Polis merampas 63.42 gram syabu (methamphetamine) dan menahan seorang warga asing dalam serbuan ‘Ops Gempur Khas’ di kuarters sebuah ladang di Kalabakan pada Selasa.
Ketua Polis Daerah (OCPD) ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia lingkungan 50-an ditahan kira-kira jam 7.00 malam selepas pihak polis menerima maklumat orang awam berhubung kegiatan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan, suspek secara sukarela menyerahkan sebuah beg kecil berwarna hitam berzip yang mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur dipercayai syabu,” katanya.
Beliau turut mengesahkan ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif methamphetamine dan amphetamine.
Nilai rampasan syabu itu dianggarkan bernilai RM6,300. Suspek bersama semua barang bukti telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau untuk siasatan lanjut.
Polis kini sedang mengesan individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian pengedaran dadah tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.






