Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah terus komited memperkukuhkan Mahkamah Anak Negeri (MAN) dengan bidang kuasa yang jelas dan mencukupi, struktur institusi yang mantap serta barisan pegawai yang berintegriti dan berwibawa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, usaha berkenaan turut merangkumi penambahbaikan prosedur agar lebih moden, teratur dan berkesan sejajar dengan keperluan semasa.
Sehubungan itu, katanya, pada tahun ini Kerajaan Negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM84.40 juta bagi perbelanjaan mengurus serta pelaksanaan pelbagai program demi memastikan kebajikan dan adat resam anak negeri terus terpelihara.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM69.98 juta diperuntukkan bagi pembayaran elaun dan perbelanjaan pentadbiran Ketua-Ketua Adat Negeri.
“Manakala RM2.70 juta pula diperuntukkan untuk meneruskan projek pembinaan Mahkamah Anak Negeri di Tamparuli, Sook dan Paitan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar ‘Empowering Native Justice – The Way Forward’ di sini, pada Sabtu.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Turut hadir Presiden Majlis Jaksa-Jaksa Pendamai Sabah (MAJAPS), Datuk Seri Panglima Dr Clarence Bongkos Malakun.
Ketua Menteri berkata, perundangan yang mentadbir adat anak negeri wajar dikaji semula dan diperkemas agar selari dengan keadaan serta kehendak semasa.
Menurutnya, terdapat undang-undang berkaitan anak negeri yang digubal sejak zaman kolonial dan perlu disemak serta diperbaiki bagi memastikan kesesuaiannya dengan realiti kehidupan masa kini.
“Undang-undang tersebut lahir dalam suasana dan realiti yang sangat berbeza berbanding hari ini. Kini Sabah telah berubah, masyarakat kita juga telah berubah.
“Nilai ekonomi, struktur sosial serta cabaran kehidupan berkembang dengan begitu pantas. Maka undang-undang juga perlu berubah, bukan untuk menafikan adat dan warisan, tetapi bagi memastikan keadilan terus relevan dan berfungsi,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap seminar berkenaan menjadi medan perbincangan yang berani, jujur dan berpaksikan kepentingan Sabah dalam mencari penyelesaian yang adil serta menyeluruh.
Menurutnya, usaha memperkukuhkan undang-undang dan sistem keadilan anak negeri bukanlah langkah ke belakang.
“Sebaliknya, inilah langkah ke hadapan — satu langkah berani untuk memastikan Sabah melangkah ke masa depan tanpa mengorbankan jati diri dan warisannya,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran seminar itu amat bermakna dan signifikan kepada masa depan rakyat Sabah, khususnya anak-anak negeri.
“Sabah merupakan negeri yang kaya dengan adat, identiti dan budaya anak negeri yang telah berakar umbi sejak turun-temurun,” katanya.

PENGHARGAAN… Dr Joachim menerima cenderamata daripada Dr Clarence Bongkos Malakun.







