SANDAKAN: Komando Keselamatan Pantai Timur Sabah (Esscom) berjaya membongkar pelbagai aktiviti menyalahi undang-undang menerusi operasi bersepadu di sekitar Sandakan pada 29 dan 30 Julai lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan, kompaun, tindakan penguatkuasaan serta anggaran kerugian mencecah RM433,077.
Operasi yang melibatkan 263 anggota penguat kuasa daripada pelbagai agensi itu tertumpu di penempatan setinggan sekitar Jalan Istana, Kampung Tabah Baru, Kampung Karamunting serta kawasan pusat bandar Sandakan.
Dalam operasi berkenaan, seramai 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan, terdiri daripada 21 warga Filipina dan empat warga Indonesia selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah. Kesemua mereka diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Komander Esscom, Datuk Victor B. Sanjos, berkata kejayaan operasi itu membuktikan komitmen berterusan Esscom dalam memperkukuh keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESS Zone) menerusi kerjasama strategik antara pelbagai agensi.
Beliau berkata, pendekatan penguatkuasaan berasaskan risikan bukan sahaja berkesan membanteras jenayah rentas sempadan, malah turut mengekang pelbagai kesalahan ekonomi yang menjejaskan hasil kerajaan serta keselamatan masyarakat.
Antara tindakan penguatkuasaan yang diambil ialah Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas rokok seludup bernilai RM20,000 mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
Sabah Electricity pula merampas 300 kilogram kabel elektrik yang disambung secara haram bernilai RM15,000, selain menganggarkan kerugian hasil tahunan akibat sambungan elektrik haram sebanyak RM300,000. Sambungan haram itu turut dikenal pasti berisiko menyebabkan kebakaran dan renjatan elektrik.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) merampas 1,105 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM2,762, selain menyita sebuah kenderaan bernilai RM20,049, menjadikan jumlah rampasan keseluruhan RM22,811 mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Majlis Perbandaran Sandakan pula merampas pelbagai barangan tanpa lesen bernilai RM6,500 dan mengeluarkan kompaun RM300 mengikut Ordinan Pelesenan Perdagangan (Sabah Bab 144).
Sementara itu, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah menahan dua lelaki serta merampas 0.07 gram disyaki syabu untuk siasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 20 kertas siasatan kompaun, sembilan notis pelbagai kesalahan serta mengarahkan pembayaran tunggakan gaji minimum berjumlah RM116, dengan nilai keseluruhan tindakan penguatkuasaan berkaitan buruh berjumlah RM60,116.
Jabatan Air Negeri Sabah turut mengeluarkan dua notis bagi sambungan air haram dengan kompaun RM600, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas 1,550 biji telur penyu bernilai RM7,750, sekali gus menghalang ia diperdagangkan di pasaran gelap.
Esscom memaklumkan operasi itu dilaksanakan sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Madani menerusi Op SANGGAH bagi memperkukuh kawalan keselamatan di ESS Zone melalui kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi penguat kuasa Persekutuan dan negeri.

RAMPAS …. Pekerja Sabah Electricity mengangkat kabel elektrik yang disambung secara haram selepas dibongkar dalam operasi bersepadu yang diselaraskan Esscom di Sandakan.







