Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya Sabah (KKRS)melalui Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) beriltizam untuk merancang dan membangunkan sistem bekalan air yang lestari serta memastikan penyampaian bekalan air yang selamat, berkualiti dan berterusan kepada seluruh pengguna di negeri Sabah.
Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, JANS juga komited untuk mempertingkat tahap penyampaian perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan yang efisien, profesional dan berorientasikan pelanggan demi menjamin kepuasan pengguna.
Katanya, sehingga Pelan Pusingan Kelima (PP5) Tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) melalui Program Pinjaman Mudah Persekutuan, JANS telah dan sedang melaksanakan beberapa projek berimpak tinggi bagi menangani isu bekalan air jangka masa panjang iaitu 18 projek di bahagian Pantai Barat, 15 projek di Bahagian Pedalaman, 12 projek Bahagian Tawau, 5 projek Bahagian Sandakan dan 2 projek Bahagian Kudat.
Katanya, bagi perancangan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) Tahun 2026, KKRS sedang meneliti cadangan bagi pelantikan perunding untuk melaksanakan kajian dan penyediaan pelan induk bagi seluruh daerah di Sabah.
“Kajian ini bertujuan untuk merangka strategi dan pelan induk bagi mengoptimumkan bekalan air terawat yang selamat kepada seluruh komuniti di Sabah, meliputi keperluan jangka masa pendek, sederhana serta jangka panjang, termasuk cadangan pelaksanaan strategi Grid Air di seluruh negeri,” katanya pada sesi pertanyaan lisan persidangan Dewan Undangan Negderi (DUN) Sabah, pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan, Datuk Anwar Ayuub @ Annuar Ayub yang bertanya sama ada Kerajaan Negeri mempunyai perancangan khusus atau pelan tindakan jangka panjang bagi menangani masalah bekalan air terawat termasuk penggunaan kaedah altenatif seperti sistem penuaian air hujan (rainwater harvesting) terutamanya di kawasan luar bandar atau yang sering menghadapi gangguan bekalan air.
Shahelmey, yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, Kementeriannya telah mengemukakan senarai keutamaan cadangan kepada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Tawau dan Sandakan, pelaksanaan Program Non-Revenue Water (NRW) secara holistik bagi daerah Keningau dan Beaufort, serta cadangan kerja-kerja penggantian paip-paip lama yang uzur di daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan dan Sandakan.
Katanya, pada masa yang sama, JANS juga bercadang di bawah program yang sama untuk melaksanakan secara berfasa pembinaan Sistem Tangki Pra- Pemendapan di 22 Loji Rawatan Air (LRA) di seluruh Sabah dalam tempoh RMK-13 tertakluk kepada kelulusan pihak Kementerian Persekutuan.
Di samping itu, katanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui JANS juga telah meluluskan tiga (3) projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Rolling Plan 5(RMKe- 12, RP5) yang merangkumi penyelesaian isu bekalan air di daerah Kinabatangan, Beluran dan Pitas.
Bagi penyaluran bekalan air alternatif pula, katanya JANS tidak melaksanakan penyaluran bekalan air alternatif kepada pengguna kerana terikat kepada Enakmen Bekalan Air 2003 (Pindaan 2022) dimana fungsi dan tanggungjawab Jabatan Air Sabah sebagai Pihak Berkuasa Air Negeri (PBAN) adalah untuk menyalurkan bekalan air yang telah dirawat kepada pengguna yang berdaftar sahaja.
“Walau bagaimanapun, Jabatan Air Sabah tidak mempunyai halangan terhadap cadangan bekalan air alternatif dan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama dan khidmat teknikal kepada organisasi atau agensi yang ditugaskan untuk melaksanakan projek-projek tersebut,” katanya.
Menjawab soalan tambahan Anwar, Shahelmey berkata, negeri ini tidak mempunyai jaringan paip yang lama daripada jenis AC paip lebih kurang 1200 km panjang.
Katanya, JANS memang mempunyai perancangan untuk mengganti paip-paip yang usang tersebut seperti program penggantian paip usang dan menaiktaraf paip transmisi dan agihan di daerah Sandakan, Keningau, Kota Kinabalu dan sebagainya.
“Namun demikian, sekiranya kita hendak menggantikan paip-paip usang itu secara sekaligus, ia akan menelan kos yang agak tinggi. Oleh itu, Ianya akan dilakukan secara berfasa.
“Dalam masa yang sama juga, sejak tahun lepas, pihak Jabatan Air Negeri Sabah telah melantik kontraktor-kontraktor pembaikan bagi kerja-kerja membaiki paip-paip yang bocor dan rosak di seluruh zon di negeri Sabah.
“Ini adalah merupakan usaha kita untuk memperbaiki dan mengganti paip-paip usang dan bocor yang sedang berlaku di beberapa kawasan di negeri Sabah,” katanya.



