Kaamatan kukuhkan perpaduan, silaturahim penduduk kampung

INANAM: Perayaan Kaamatan bukan sekadar simbol budaya, malah menjadi platform penting dalam mengukuhkan perpaduan, memupuk persefahaman serta memelihara adat dan tradisi masyarakat berbilang kaum di Sabah.
Menurut Ahli Majlis Daerah Pitas, Dato’ Abdul Tani Lo, Kaamatan wajar dijadikan sebagai wadah penyatuan dalam kalangan masyarakat, khususnya penduduk kampung.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan Kaamatan yang diadakan di kediamannya bersama Tuan Patrick Manson di Kampung Nountun, Inanam.
Majlis yang berlangsung meriah itu turut dihadiri saudara mara, jiran tetangga serta penduduk dari kampung-kampung berhampiran.
Para tetamu turut mengenakan pakaian tradisi dan dijamu dengan hidangan tempatan sambil dihiburkan dengan persembahan muzik tradisional.
“Perayaan seperti ini mampu memupuk semangat muhibah serta menjadi ruang untuk mengeratkan hubungan sesama penduduk kampung,” kata Abdul Tani.
Beliau turut menambah bahawa suasana harmoni dan toleransi inilah yang menjadi kekuatan masyarakat Sabah dalam menangkis anasir luar yang cuba menggugat keharmonian.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan tempatan termasuk Gorge Lian, S. Welly dan Tantiana Tukiman, sekali gus menambahkan kemeriahan acara.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr. Roland Chia, turut hadir dan menyatakan sokongannya terhadap usaha mengekalkan perpaduan serta semangat kekitaan dalam kalangan rakyat.
Pelbagai aktiviti menarik seperti permainan tradisi, pertandingan dan cabutan bertuah turut diadakan sebagai pengisian program serta salah satu cara berkongsi rezeki bersama masyarakat.
Menurut Abdul Tani, penganjuran majlis tersebut tidak akan berjaya tanpa kerjasama erat semua pihak.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menjadikan acara seperti ini sebagai acara tahunan dengan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Saya amat berterima kasih atas kehadiran dan komitmen semua. Majlis ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada semua pihak,” katanya.

TERBAIK … Abdul Tani Lo menyampaikan hadiah kepada Alexander, pemenang pakaian tradisi terbaik.
KERJASAMA … Suasana mesra dan perpaduan jelas terpancar sepanjang majlis.