Oleh JOHN TAMBANAN
TAMBUNAN: Pembangunan sahsiah pelajar perlu digerakkan secara menyeluruh dan tidak harus tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya diperkukuh melalui penglibatan aktif dalam aktiviti kokurikulum seperti sukan.
Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Sdn Bhd, Datuk Victor Peter Paut berkata, sukan berperanan sebagai platform strategik dalam membentuk disiplin diri, semangat berpasukan serta daya tahan mental dalam kalangan pelajar.
“Lebih daripada sekadar menang atau kalah, sukan adalah wadah membina karakter dan nilai kepimpinan. Elemen ini menjadi asas penting dalam mempersiapkan generasi muda menghadapi cabaran masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Sukan St. Martin Tambunan Kali Ke-56 Tahun 2026, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pengetua SM St. Martin Tambunan, barisan pentadbir sekolah, guru-guru serta ibu bapa.
Dalam pada itu, Victor merakamkan penghargaan terhadap komitmen pihak sekolah dalam memperkasa pembangunan sukan, sambil menegaskan usaha berkenaan wajar terus disokong secara berterusan.
Sebagai tanda sokongan, beliau meluluskan sumbangan berjumlah RM9,000 kepada sekolah berkenaan, merangkumi RM8,000 bagi pembangunan sukan dan RM1,000 untuk penyertaan Pasukan Koir SM St. Martin Tambunan ke 3rd Jesselton Choir Festival 2026.
Beliau berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan secara optimum bagi meningkatkan kemudahan sukan serta memperkasa pembangunan bakat pelajar.
“Saya yakin dengan kemudahan yang lebih baik, lebih ramai pelajar mampu menyerlahkan potensi mereka bukan sahaja di peringkat sekolah, malah hingga ke peringkat lebih tinggi,” katanya.
Victor yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan turut merakamkan tahniah kepada pihak penganjur, guru serta semua yang terlibat dalam menjayakan temasya sukan berkenaan.
Menurutnya, penganjuran program seumpama itu memerlukan komitmen tinggi, namun hasil kerjasama erat semua pihak telah memastikan ia berlangsung dengan lancar dan meriah.
Beliau turut menasihatkan para pelajar agar menjadikan pengalaman sepanjang temasya sukan sebagai pembelajaran bermakna dalam kehidupan.
“Kemenangan bukan segala-galanya dan kekalahan bukan penamat. Apa yang lebih utama ialah usaha, semangat juang dan keazaman untuk terus bangkit.
“Kejayaan menuntut pengorbanan, latihan berterusan serta sikap tidak mudah berputus asa. Jadikan setiap kegagalan sebagai pemangkin untuk mencapai kejayaan yang lebih besar,” katanya.
Victor turut memuji semangat kesukanan yang dipamerkan pelajar, termasuk sikap saling menghormati dan bermain secara adil.
“Inilah nilai yang perlu dipupuk dan dikekalkan dalam membentuk generasi berintegriti,” katanya sambil menggesa pelajar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam akademik, sahsiah dan kepimpinan.
Selepas majlis berkenaan, beliau turut menghadiri dua lagi program iaitu penyampaian sumbangan kepada seorang penduduk di Kampung Patau serta menghadiri majlis perkahwinan di Dewan TVRC.

SUMBANGAN …. Victor menyampaikan sumbangan RM8,000 bagi pembangunan sukan SM St. Martin Tambunan.

GALAKKAN …. Wakil Pasukan Koir SM St. Martin Tambunan menerima sumbangan RM1,000 daripada Victor bagi penyertaan ke 3rd Jesselton Choir Festival 2026.

KENANGAN …. Victor (tengah) merakam gambar kenangan bersama pemenang temasya sukan.

SAMPAIKAN … Seorang penerima di Kampung Patau menerima sumbangan daripada Victor.






