Perubahan mekanisme subsidi diesel beri kesan kepada PKS, kerajaan diminta tangguh pelaksanaan

KOTA KINABALU: Persatuan Pembina Sabah (SBA) menggesa Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan mekanisme baharu subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sehingga harga bahan binaan di pasaran global kembali stabil.
Presidennya, Paul Luk berkata, kenaikan kos yang berterusan berisiko menyebabkan projek-projek utama termasuk Lebuhraya Pan Borneo mengalami kelewatan atau digantung berikutan kekangan kewangan yang dihadapi kontraktor.
Menurut beliau, gangguan terhadap aktiviti pembinaan bukan sahaja menjejaskan pelaksanaan projek, malah boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan serta melemahkan pertumbuhan ekonomi Sabah.
Beliau berkata demikian susulan keputusan Kerajaan Persekutuan melaksanakan perubahan mekanisme subsidi diesel di Sabah dan Sarawak yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2026.
“Ekonomi Sabah ketika ini masih ketinggalan berbanding banyak negeri lain di Malaysia.
“Sebarang gangguan kepada sektor pembinaan yang menjadi pemacu utama aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan hanya akan melebarkan jurang pembangunan serta memberi kesan buruk kepada kehidupan ribuan rakyat Sabah,” katanya.
Paul berkata, SBA komited untuk terus bekerjasama dengan kerajaan serta semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian yang praktikal, sekali gus mengimbangi matlamat fiskal kerajaan dengan kelestarian industri pembinaan.
Beliau berkata, dasar subsidi bersasar baharu itu diperkenalkan dalam tempoh yang singkat tanpa mengambil kira sepenuhnya cabaran yang dihadapi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pembinaan.
Katanya, industri pembinaan kini berdepan kenaikan mendadak harga bahan binaan akibat ketegangan geopolitik yang berterusan serta konflik antara Amerika Syarikat dan Iran.
“Kebanyakan kontrak pembinaan ditawarkan secara harga tetap, sekali gus mengehadkan kemampuan kontraktor untuk menyerap peningkatan kos yang terus berlaku,” katanya.
Menurut SBA, mekanisme subsidi bersasar itu tidak meliputi lori tipper dan lori konkrit bancuh siap, yang dijangka meningkatkan kos pengangkutan serta harga kerja tanah, operasi kuari, agregat, konkrit dan bahan binaan berkaitan.
Katanya, beban kos tambahan itu berlaku ketika ramai kontraktor sedang bergelut untuk meneruskan operasi.
“Pelaksanaan dasar baharu subsidi diesel dalam keadaan ekonomi semasa akan memberi tekanan yang lebih besar kepada industri dan berpotensi menjejaskan kelangsungan projek-projek yang sedang dilaksanakan,” katanya.-Paul Mu

Paul Luk menggesa Kerajaan Persekutuan menangguhkan pelaksanaan mekanisme baharu subsidi diesel di Sabah dan Sarawak.