ACP Rosdi Mat Jusoh terajui IPD Tawau sebagai Ketua Polis Daerah baharu

TAWAU: ACP Rosdi Mat Jusoh secara rasmi dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (OCPD) Tawau dalam majlis serah terima tugas yang berlangsung di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 3 Ogos.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun, dan turut dihadiri pegawai kanan Polis Kontinjen Sabah serta Ketua-Ketua Polis Daerah Zon Pantai Timur.
Rosdi sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kontinjen Sabah.
Beliau mengambil alih tugas daripada Superintendan Wilynton Enchana Watt yang memangku jawatan Ketua Polis Daerah Tawau sebelum ini.
Dalam ucapan sulungnya, Rosdi merakamkan penghargaan kepada kepimpinan Polis Sabah atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui IPD Tawau.
Beliau turut menzahirkan penghormatan kepada Allahyarham ACP Jasmin Hussin yang disifatkan telah banyak berjasa serta meletakkan asas kukuh kepada kecemerlangan IPD Tawau.
“Saya akan meneruskan legasi kecemerlangan yang ditinggalkan Allahyarham ACP Jasmin dengan terus memperkukuh IPD Tawau selaras aspirasi kepimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Rosdi turut menegaskan kejayaan sesebuah organisasi bukanlah hasil usaha seorang pemimpin semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kekuatan sebuah pasukan yang bersatu, saling mempercayai dan berkongsi matlamat yang sama.
“Saya tidak datang untuk memimpin bersendirian, tetapi untuk berjalan seiring bersama seluruh warga IPD Tawau. Insya-Allah, saya akan melaksanakan amanah ini dengan penuh keikhlasan, integriti dan rasa tanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, Jauteh merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham ACP Jasmin Hussin yang disifatkan sebagai seorang pegawai berintegriti tinggi dan banyak menyumbang kepada pengukuhan aspek keselamatan serta hubungan erat antara polis dan masyarakat.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Rosdi atas pelantikan tersebut serta menyatakan keyakinan bahawa beliau mampu meneruskan dan mempertingkatkan kecemerlangan yang telah dicapai IPD Tawau.
Majlis serah terima tugas itu melambangkan peralihan kepimpinan yang lancar di IPD Tawau sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam memperkukuh tadbir urus organisasi, penyampaian perkhidmatan kepolisan dan kebajikan warga pasukan demi menjamin keselamatan, keamanan serta kesejahteraan masyarakat di daerah ini.-James Leong.

SERAH TUGAS …. Wilynton menyerahkan tugas kepada ACP Rosdi Mat Jusoh (kanan) sambil disaksikan Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun.