Sabah tegas perkukuh tadbir urus pelancongan selaras MA63

Oleh JOHN TAMBANAN


PUTRAJAYA: Kerajaan Sabah kekal komited meneruskan cadangan meletakkan sektor pelancongan di bawah Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan semangat dan prinsip Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, cadangan itu akan memberi Sabah kuasa perundangan untuk mengawal selia, mengurus dan membangunkan industri pelancongan mengikut keperluan, keutamaan serta keunikan negeri.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini.
“Sabah tidak meminta layanan istimewa. Sebaliknya, kita mahu memperkukuh keupayaan menguruskan salah satu sektor ekonomi terpenting negeri selaras dengan semangat MA63,” katanya.
Menurut Jafry, langkah itu akan memperkukuh tadbir urus pelancongan melalui penambahbaikan rangka kerja pelesenan dan kawal selia, pemeliharaan warisan budaya serta alam semula jadi, peningkatan keselamatan pengunjung dan pelaksanaan dasar seperti Levi Kelestarian Pelancongan bagi menyokong usaha pemuliharaan serta pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau menegaskan cadangan tersebut bukan bertujuan memisahkan Sabah daripada rangka kerja pelancongan negara, sebaliknya memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
“Cadangan ini bertujuan memperkasakan Sabah untuk mengurus industri pelancongannya dengan lebih berkesan, sambil terus menyokong agenda pelancongan negara,” katanya.
Jafry berkata, industri pelancongan Sabah mempunyai keunikan tersendiri yang memerlukan dasar bersesuaian dengan realiti geografi, alam sekitar dan sosioekonomi negeri, termasuk kekayaan biodiversiti, kawasan perlindungan, pelancongan pulau, warisan budaya masyarakat peribumi dan sektor pelancongan berasaskan komuniti.
Beliau berkata, peranan yang lebih kukuh kepada Sabah dalam tadbir urus pelancongan bukan sahaja memberi manfaat kepada negeri, malah meningkatkan daya saing industri pelancongan Malaysia secara keseluruhan.
Menurutnya, pelancongan kekal sebagai antara tonggak utama ekonomi Sabah yang menjana peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
“MA63 bukan sekadar dokumen sejarah, tetapi komitmen perlembagaan yang perlu terus menjadi panduan dalam penggubalan dasar serta memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau menambah, Kerajaan Sabah akan terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan itu dapat direalisasikan melalui pendekatan yang konstruktif demi kepentingan Sabah dan Malaysia.

HADIR …. Jafry (kanan) menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di Putrajaya.