Dua pemandu terselamat dalam kemalangan di Kinabatangan

KINABATANGAN: Dua pemandu terselamat tanpa mengalami kecederaan serius dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan yang berlaku kira-kira 10 kilometer dari pekan Kinabatangan, petang Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.52 petang.
Kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah Proton Saga.
Siasatan awal mendapati Perodua Myvi yang datang dari arah Kampung Sungai Rotan dipercayai sedang membuat pusingan U menghala ke Kertam sebelum bertembung dengan Proton Saga yang datang dari arah Pos Kawalan Batu 32 menuju ke Kampung Usahajaya.
Seramai lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikejarkan ke lokasi dan tiba pada jam 5.08 petang.
Pemandu Perodua Myvi merupakan lelaki warga Indonesia, manakala pemandu Proton Saga ialah seorang lelaki tempatan berusia 72 tahun.
Kedua-dua mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami kecederaan serius.
Menurut saksi, bahagian hadapan Proton Saga terbakar sejurus selepas pelanggaran berlaku.
Bagaimanapun, orang awam berjaya memadamkan kebakaran kecil itu sebelum ketibaan pasukan bomba.
Anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan menyeluruh di lokasi bagi memastikan tiada lagi bahaya yang boleh mengancam keselamatan serta merekodkan maklumat berkaitan kejadian.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang.-James Leong.

REMUK …. Salah sebuah kenderaan yang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Kinabatangan pada Isnin.