KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah (HKHS) 2026 berlangsung meriah dan lancar dengan kehadiran kira-kira 50,000 pengunjung di Dataran Bandaraya Tun Fuad Stephens, di sini, pada Isnin.
Sambutan itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Toh Puan Faridah Tussin, yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag.
Acara dimulakan dengan Tun Musa menerima Hormat Diraja daripada Kawalan Kehormatan Utama (KKU), sebelum turun dari pentas untuk memeriksa barisan kawalan berkenaan.
Beliau kemudian kembali ke pentas untuk menerima Hormat Diraja, diikuti upacara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah dengan iringan lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.
Program diteruskan dengan Lafaz Ikrar Rukun Negara oleh anggota badan beruniform, sebelum pengunjung dihiburkan persembahan koir Kementerian Kewangan Negeri Sabah yang menyampaikan beberapa lagu, termasuk lagu tema Hari Kebangsaan 2026, Aku Berjanji, selain Sabah Maju Jaya, Malaysia Berjaya dan Jalur Gemilang.
Suasana bertambah meriah apabila acara berjalan lalu dimulakan dengan perarakan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Perarakan itu disusuli 121 kontinjen perbarisan dan 52 kontinjen kenderaan, menjadikan keseluruhan penyertaan sebanyak 173 kontinjen.
Antara kontinjen Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan) ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Turut mengambil bahagian ialah kontinjen Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan), antaranya Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah (PSUPS), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Hospital Queen Elizabeth serta Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia.
Perarakan turut disertai pasukan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2026 yang diketuai Pengarah Jabatan Penerangan (JAPEN) Sabah, Jainisah Mohd Noor, bersama rakan strategik.
Pasukan berkenaan sebelum ini mengelilingi seluruh Sabah bagi menyemarakkan Bulan Kebangsaan serta menyampaikan mesej patriotisme kepada masyarakat di negeri itu.
Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan khas Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS), persembahan Aneka Warna dan persembahan khas JBPM.
Majlis berakhir dengan KKU mengambil tempat, diikuti lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku serta Hormat Diraja sebelum Tun Musa meninggalkan majlis.
Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan HKHS 2026; dan Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Zainudin Aman; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Datuk Mohd Sofian Alfian Nair; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sri Dr Sabin Samitah; serta ketua jabatan Persekutuan dan negeri.

Tun Musa Aman (tengah) tiba di Dataran Bandaraya Tun Fuad Stephens bagi menghadiri Sambutan HKHS 2026.






