SEMPORNA: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) sedang mengambil langkah bagi menangani isu pelesenan yang dihadapi premis pelancongan di Semporna.
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, beliau mengambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan pengusaha premis pelancongan berhubung kesukaran mendapatkan lesen premis pelancongan.
Katanya, perkara itu susulan perbincangan bersama beberapa pengusaha premis yang mendapati permohonan lesen mereka masih tertangguh disebabkan dokumentasi tidak lengkap, gagal memenuhi syarat pelesenan serta beberapa isu teknikal.
Menurut beliau, premis yang beroperasi di bawah Lesen Pendudukan Sementara (Temporary Occupation Licence – TOL) tidak boleh diberikan lesen mengikut peraturan sedia ada.
Jafry berkata, Majlis Daerah Semporna kini sedang meneliti semula pelan pengezonan kawasan pesisir pantai, termasuk cadangan penukaran zon bagi memastikan ia selaras dengan keperluan semasa pembangunan sektor pelancongan.
Beliau berkata, kementeriannya juga akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Mohd Arifin Arif bagi mencari penyelesaian yang praktikal tanpa mengetepikan pematuhan terhadap undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pengusaha premis pelancongan supaya terus memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dengan melengkapkan semua dokumen yang diperlukan bagi tujuan pelesenan.
Katanya, KePKAS akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam menyelaras perbincangan bersama kementerian berkaitan, pihak berkuasa tempatan dan agensi berkaitan bagi menyelesaikan isu tersebut.
Menurutnya, usaha itu bertujuan memastikan industri pelancongan Semporna terus berkembang secara sah, teratur dan mampan, di samping memperkukuh penyertaan masyarakat tempatan dalam ekonomi pelancongan Sabah.-Paul Mu

Jafry (enam dari kiri) bergambar bersama pengusaha premis pelancongan di Semporna





