Cakna kualiti kampung demi persekitaran selesa dan selamat

PUTATAN: Masyarakat kampung diseru agar terus peka dan berperanan sebagai “mata dan telinga” kerajaan dalam usaha meningkatkan kualiti persekitaran yang lebih selesa, selamat dan sejahtera.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata wakil masyarakat serta ketua kampung perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan mengemukakan laporan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang isu yang memerlukan tindakan.
Menurutnya, langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan menerusi jabatan, agensi berkaitan dan komuniti mengambil tindakan segera terhadap isu keselamatan, infrastruktur serta permasalahan setempat.
“Kita mahu semua pihak berganding bahu menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam menjaga dan mensejahterakan kampung yang didiami.
“Wakil masyarakat, ketua kampung dan penduduk sendiri dialu-alukan menjadi mata dan telinga kerajaan supaya persekitaran kampung terus dipertingkatkan agar lebih selesa, selamat serta seiring dengan arus pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyertai program Walkabout Malam sempena Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas Bersama Pimpinan 2026 di Kampung Sekambu, Petagas, pada Sabtu.
Dalam program itu, Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) turut meninjau keadaan infrastruktur dan persekitaran kampung bersama rombongan.
“Program ini merupakan platform terbaik untuk kita melihat dan menilai sendiri keadaan kampung di Petagas.
“Selain meninjau aspek keselamatan melalui rondaan yang dijalankan, kita turut mengenal pasti beberapa isu seperti lampu jalan yang tidak berfungsi serta cadangan pembinaan sebuah pos KRT di kawasan ini.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memastikan kawasan kampung di Petagas sentiasa berada dalam keadaan selesa, selamat dan kondusif untuk didiami,” katanya.-John Tambanan.

TINJAU …. Shahelmey meninjau keadaan sekitar ketika menyertai program Walkabout Malam sempena Jom Ronda Skim Rondaan Sukarela Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Petagas Bersama Pimpinan 2026 di Kampung Sekambu, Petagas, pada Sabtu.