KOTA KINABALU: Ratu Unduk Ngadau Kaamatan Sabah 2026, Gelvia Vanessa, mengambil peluang melawat Rumah Etnik Brunei di Muzium Sabah pada Sabtu lalu.
Gelvia, yang berasal dari Kampung Gana, Papar, disambut Ahli Jawatankuasa Pusat (AJP) Persatuan Masyarakat Brunei Sabah (PMBS), Haji Ampuan Wahab Haji Ampuan Hamzah.
Sepanjang lawatan itu, Haji Ampuan Wahab yang juga Pengerusi PMBS Cawangan Kampung Benoni memberikan penerangan mengenai pelbagai aktiviti kebudayaan yang diadakan setiap hujung minggu, iaitu pada Sabtu dan Ahad, di Rumah Etnik Brunei.
Gelvia turut didedahkan dengan pelbagai warisan masyarakat Brunei, termasuk demonstrasi menganyam bakul, persembahan Bargual Gambang, serta menikmati juadah dan kuih tradisional seperti pinyaram, tapai, ambuyat dan pelbagai hidangan tradisional lain.
Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada Program Interpretasi Hidup Muzium Sabah yang bertujuan mempromosikan kepelbagaian budaya negeri ini, selaras dengan peranan Muzium Sabah sebagai Gerbang Budaya Sabah.
Menurut Haji Ampuan Wahab, Rumah Etnik Brunei menerima puluhan hingga ratusan pengunjung tempatan dan luar negara pada setiap minggu.
Beliau berkata, program yang bermula pada Jun lalu itu akan diteruskan sehingga penghujung tahun ini.

Gelvia Vanessa menandatangani buku pelawat sambil diiringi Haji Ampuan Wahab serta Pengerusi PMBS Cawangan Kampung Berumbai, Beaufort, Awangku Abdullah.

Bargual Gambang – Seorang ahli PMBS Cawangan Kampung Benoni mempersembahkan permainan tradisional tersebut kepada Gelvia Vanessa dan para pengunjung.




