Utamakan agenda pembangunan rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Usno, Mohd Juari Amit, menegaskan agenda pembangunan Sabah perlu berteraskan prinsip keadilan, kemampanan dan inklusif dengan memastikan setiap ringgit wang awam memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Beliau berkata, kedudukan kewangan negeri yang kukuh dengan rizab melebihi RM8.6 bilion serta bayaran interim khas RM1.5 bilion daripada Kerajaan Persekutuan merupakan satu amanah besar yang perlu diterjemahkan kepada pembangunan sebenar.
“Kejayaan sesebuah kerajaan bukan hanya diukur berdasarkan besarnya rizab kewangan, tetapi sejauh mana ia mampu meningkatkan taraf hidup rakyat,” katanya.
Menurut beliau, keutamaan pembangunan perlu memberi tumpuan kepada isu asas yang dihadapi rakyat, termasuk pengangkutan laut, bekalan elektrik luar bandar, penempatan setinggan serta akses perkhidmatan kesihatan di kawasan pulau dan pedalaman.
Beliau berkata, pengurangan perkhidmatan feri Kudat–Banggi kepada hanya satu perjalanan sehari telah memberi kesan kepada ribuan penduduk, justeru kerajaan disaran mempertimbangkan mekanisme subsidi yang lebih mampan.
Mohd Juari turut menggesa supaya projek bekalan elektrik luar bandar yang masih terbengkalai di pulau-pulau seperti Balambangan, Tigabu, Manawali dan Mantanani disiapkan segera.
“Masyarakat luar bandar berhak menikmati bekalan elektrik yang stabil sebagaimana dinikmati penduduk di kawasan bandar,” katanya.
Mengenai isu penempatan setinggan, beliau mencadangkan kerajaan melaksanakan Pelan Induk Penempatan Rakyat Sabah dalam tempoh 10 hingga 15 tahun dengan menyediakan lot tanah, infrastruktur asas dan kemudahan awam sebelum diserahkan kepada keluarga yang layak.
Katanya, pendekatan itu bukan sahaja lebih menjimatkan kos, malah membolehkan rakyat memiliki tanah secara sah.
Dalam sektor kesihatan, beliau turut mencadangkan penubuhan Dana Bantuan Pengangkutan Pesakit Sabah bagi membantu penduduk di pulau dan kawasan pedalaman mendapatkan rawatan hospital tanpa dibebani kos perjalanan.
“Tiada rakyat seharusnya gagal mendapatkan rawatan hanya kerana faktor jarak atau kos,” katanya.
Beliau turut menyeru kerajaan negeri supaya terus mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan perbelanjaan.
“Rakyat Sabah tidak menuntut kemewahan, sebaliknya mengharapkan keutamaan yang tepat. Itulah asas kepada pembangunan yang inklusif, adil dan mampan,” katanya.

Mohd Juari Amit